Rabu, 9 March 2022 | 1:46pm

Harapan isteri temui suami bawah runtuhan

IPOH: Wak Uda A/P Bahkim, isteri kepada seorang dari mangsa tertimbus runtuhan kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, di sini semalam tetap berharap suaminya, Itam A/L Balasoh, ditemukan dalam keadaan selamat.

"Biarlah dia ditemukan dalam keadaan parah sekalipun, asalkan masih bernyawa dan panjang umur," katanya sewaktu ditemui pada operasi mencari serta menyelamat (SAR) suaminya bersama seorang lagi mangsa, Kheow Loo Siew Soon, 49, yang memasuki hari kedua pada hari ini.

Ibu berusia 41 tahun itu mempunyai empat anak berusia antara dua hingga 15 tahun itu berkata, anaknya memahami keadaan yang menimpa bapa mereka dan menerima takdir yang ditentukan.

"Anak-anak faham ayah dekat bawah (runtuhan) dan semalam mereka menangis hingga ke petang. Mereka macam terima dan faham keadaan itu kecuali anak bongsu yang masih tidak mengerti apa-apa berikutan usianya baharu dua tahun.

"Bagaimanapun hari ini saya tidak membenarkan mereka ikut ke sini bagi menjaga SOP (prosedur operasi standard). Saya cuma pesan kepada anak sulung agar menjaga adik-adiknya di rumah," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Suasana sayu menyulami operasi SAR hari ini apabila selain Wak Uda, kelihatan turut bersama adalah beberapa sanak saudaranya termasuk kakak Itam yang kelihatan 'setia' menunggu berdekatan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) insiden berkenaan bagi menyaksikan proses SAR.

Sementara itu, operasi SAR yang ditangguhkan jam 6 petang semalam disambung semula kira-kira jam 8.45 pagi tadi berikutan keadaan cuaca pagi ini yang baik serta cerah.

Pencarian mangsa diteruskan termasuk menggunakan khidmat dari Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), selain penggunaan dron.

Wak Uda A/P Bahkim, 41, (berbaju kuning) bersama saudara termasuk kakak ipar ‘setia' menunggu pada hari kedua pencarian suaminya, yang tertimbus runtuhan kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, di sini, semalam. - Foto NSTP/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Wak Uda A/P Bahkim, 41, (berbaju kuning) bersama saudara termasuk kakak ipar ‘setia' menunggu pada hari kedua pencarian suaminya, yang tertimbus runtuhan kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, di sini, semalam. - Foto NSTP/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Berita Harian X