Selasa, 8 March 2022 | 3:29pm

Mangsa kemalangan tak sabar sambut kelahiran anak sulung

ALOR SETAR: "Kami berjanji untuk pergi beli barang bayi hujung minggu ini, namun tak sangka dia pergi dahulu sebelum sempat tengok bayi kami lahir," kata Suriyana Abdul Razak, 26.

Suriyana, isteri kepada Muhammad Khairul Azwan Maula Hashim, 31, seorang daripada dua penunggang motosikal yang maut dirempuh lori ketika berteduh daripada hujan di bawah jejambat di Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dekat Bedong, semalam.

Ketika ditemui, dia berkata suaminya itu sangat teruja dan tidak sabar menunggu kelahiran anak sulung mereka, walaupun kandungannya baharu berusia lima bulan.

Katanya, mereka berkahwin pada 17 Oktober lalu dan suaminya itu baharu sahaja mula bekerja sebagai pemandu lori di Bukit Minyak, Pulau Pinang, Selasa minggu lalu.

"Suami saya tinggal di rumah disediakan majikan dan akan pulang sekiranya tiada perjalanan ke Kuala Lumpur.

"Selalunya dia balik menaiki kereta api, namun semalam dia bertegas mahu menunggang motosikal ke Bukit Minyak kerana ia memudahkannya untuk balik ke kampung sekiranya ada kecemasan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Siam, Alor Janggus di sini, hari ini.

Dalam kejadian semalam, Khairul Azwan dan seorang lagi mangsa, Mohd Amirul Ismail, 28, meninggal dunia di tempat kejadian susulan kemalangan kira-kira jam 2.40 petang itu.

Suriyana berkata, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan mereka sempat makan tengah hari bersama sebelum suaminya itu bertolak ke Pulau Pinang.

Katanya, dia hanya mengetahui suaminya terbabit kemalangan kira-kira jam 7 malam selepas dihubungi polis.

"Tengah hari semalam dia jemput saya di pejabat dan kami makan laksa bersama...dia beritahu akan pulang ke rumah semula hari ini selepas selesai kerja.

"Namun sekarang, saya hanya tunggu jenazahnya sampai di rumah," katanya yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta di sini.

Sementara itu, ibu mangsa, Shukina Sharif, 56, berkata Khairul Azwan dan Mohd Amirul mempunyai talian persaudaraan, namun masing-masing tidak mengenali satu sama lain.

"Sudah takdir mereka meninggal dunia di tempat sama dan sebagai ibu, saya reda walaupun sedih dengan pemergiannya," katanya yang juga ibu tunggal.

Shukina berkata, jenazah Khairul Azwan akan dikebumikan di Kampung Kubang Siam selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani.

Suriya yang kini mengandung lima bulan ketika ditemui di Alor Janggus hari ini. Fotokecil potret perkahwinannya bersama suami pada Oktober tahun lalu. - FOTO NSTP / LUQMAN HAKIM ZUBIR
Suriya yang kini mengandung lima bulan ketika ditemui di Alor Janggus hari ini. Fotokecil potret perkahwinannya bersama suami pada Oktober tahun lalu. - FOTO NSTP / LUQMAN HAKIM ZUBIR
Berita Harian X