Selasa, 8 March 2022 | 2:24pm

Kuari runtuh: 2 disahkan tertimbus, 2 selamat

IPOH: Bomba mengesahkan dua mangsa tertimbus bawah runtuhan kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, di sini, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mengesahkan perkara itu setakat jam 1.11 tengah hari tadi.

"Berdasarkan maklumat terkini, terdapat empat mangsa dalam kejadian ini. Dua mangsa dapat menyelamatkan diri manakala dua lagi masih tertimbus di bawah runtuhan batu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang hilang dipercayai tertimbus runtuhan di kuari berkenaan manakala seorang dilaporkan cedera parah, selain dua mangsa sempat menyelamatkan diri dalam insiden kira-kira jam 9.40 pagi itu.

Sementara itu, seorang daripada dua mangsa tertimbus berkenaan dikenali sebagai Itam A/L Balasoh, 43, bekerja sebagai pemandu jengkaut (excavator) di kuari berkenaan.

Isteri kepada Itam, Wak Uda A/P Bahkim, 41, ketika ditemui di lokasi kejadian, berkata berita mengenai insiden yang menimpa suaminya itu diketahui melalui bapanya, Bahkim A/L Kipak yang mengetahuinya menerusi rakan sekerja suaminya.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa dengan suami adalah kira-kira 7 pagi tadi di rumah mereka di Kampung Jelintuh, Gopeng sewaktu menyediakan sarapan sebelum suaminya ke tempat kerja menaiki motosikal.

"Ketika diberitahu sesuatu menimpa suami, saya bersama adik dan bapa mentua bergegas ke sini tanpa saya mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

"Sebelum tiba di lokasi, saya tidak mahu berfikir berlebihan mengenai apa sebenarnya berlaku, sebaliknya saya berserah sahaja kepada Tuhan untuk menyedapkan hati.

"Sesudah sampai baharu saya diberitahu yang suami tertimbus runtuhan batu. Suami bekerja di sini sebagai pemandu jengkaut sejak kira-kira dua tahun lalu, " kata ibu kepada empat anak berusia antara dua hingga 15 tahun itu.

Seorang pekerja kuari berkenaan dikenali sebagai Razali yang berada di lokasi sewaktu kejadian, berkata beliau dikejutkan dengan satu bunyi seakan letupan disusuli kepulan habuk batu namun tidak menyamai letupan kuari yang biasa didengari.

"Bunyi macam letupan kedengaran hanya sekali, dalam hati ini apabila menyaksikan habuk (debu) kuari sebegitu hanya memikirkan kawan (mangsa) yang berada di bawah berhampiran lokasi itu," katanya.

Difahamkan, ketika ini pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih menunggu 'lampu hijau' dari Jabatan Mineral dan Geosains sebelum memulakan operasi, susulan terdapat rosiko kebarangkalian adanya runtuhan susulan.

Bomba menyiasat lokasi kejadian dalam operasi mencari dua mangsa yang tertimbus dalam runtuhan kuari - Foto NSTP/L Manimaran
Bomba menyiasat lokasi kejadian dalam operasi mencari dua mangsa yang tertimbus dalam runtuhan kuari - Foto NSTP/L Manimaran
Berita Harian X