Selasa, 8 March 2022 | 1:45pm
 Tertuduh, (depan) dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson. -Foto NSTP/ Mohd Khidir Zakaria
Tertuduh, (depan) dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson. -Foto NSTP/ Mohd Khidir Zakaria

Juruteknik mengaku tak salah ceroboh, cabul wanita

PORT DICKSON: Seorang juruteknik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini atas pertuduhan menceroboh dan mencabul seorang wanita, minggu lalu.

Tertuduh, W James, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret V Vanita selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai juruteknik didapati menceroboh masuk rumah seorang wanita berusia 29 tahun di Taman Ria Batu 2 1/2, Port Dickson pada jam 6.10 pagi, 6 Mac lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Pertuduhan kedua, tertuduh didapati melakukan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan niat untuk mencabul kehormatannya pada jam 5.59 pagi ketika mangsa tidur di bilik rumahnya pada tarikh dan lokasi sama.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Nur Athirah Zainudin, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula 22 Mac ini.

Berita Harian X