Selasa, 8 March 2022 | 12:02am
Anggota bomba dan penyelamat Kota Marudu bertungkus lumus mengeluarkan jari seorang budak lelaki yang terletak pada lubang rim tayar kereta
Anggota bomba dan penyelamat Kota Marudu bertungkus lumus mengeluarkan jari seorang budak lelaki yang terletak pada lubang rim tayar kereta

Budak derita lebih dua jam, jari terlekat lubang rim tayar kereta

KOTA MARUDU: Seorang budak lelaki berusia 10 tahun, terpaksa menahan kesakitan lebih dua jam apabila jarinya tersangkut pada lubang rim kereta dalam kejadian di rumahnya di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa terus dibawa oleh ahli keluarganya ke Hospital Kota Marudu bersama rim yang melekat pada jari untuk mendapatkan bantuan.

Bagaimanapun, jari hantu tangan kanan mangsa hanya berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak hospital pada jam 6.35 petang.

Katanya, operasi mengeluarkan jari mangsa dijalankan tiga anggota dan pegawai di bahagian Wad Kecemasan Hospital Kota Marudu.

"Anggota bomba menggunakan alat pemotong besi untuk mengeluarkan jari kanak-kanak terbabit yang masih terlekat pada lubang rim berkenaan.

"Operasi terpaksa dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kecederaan lebih besar pada tangan kanak-kanak terbabit," katanya.

Beliau berkata, operasi terpaksa mengambil masa lebih dua jam sebelum jari kanak-kanak terbabit berjaya dikeluarkan.

Katanya, operasi tamat pada jam 8.50 malam tadi dan kes diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X