Isnin, 7 March 2022 | 6:55pm
Dua maut manakala beberapa penunggang motosikal yang lain cedera selepas dirempuh lori ketika berteduh di bawah jejambat di Kilometer 92.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Gurun menghala Sungai Petani, dekat sini, petang tadi. - NSTP/FOTO TULAR

Dua maut, lori rempuh motosikal bawah jejambat

GURUN: Dua maut manakala beberapa penunggang motosikal yang berteduh di bawah jejambat parah selepas dirempuh lori di Kilometer 92.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Arah Selatan, dekat sini, hari ini.

Difahamkan, ketika nahas kira-kira jam 3.30 petang itu, semua mangsa sedang berteduh daripada hujan lebat di bawah jejambat berkenaan.

Bagaimanapun, mereka dirempuh lori yang dikatakan mengalami kerosakan sehingga pemandu lelakinya hilang kawalan.

Akibatnya, lori berkenaan terbabas ke tepi lebuh raya dan merempuh beberapa penunggang motosikal sehingga menyebabkan mereka tercampak ke dalam longkang berhampiran.

Dalam video dan foto yang tular di media sosial, kelihatan tiga lelaki sedang merintih menahan kesakitan akibat kecederaan dialami selepas dirempuh lori.

Penunggang motosikal yang lain cedera selepas dirempuh lori. - NSTP/FOTO TULAR
Penunggang motosikal yang lain cedera selepas dirempuh lori. - NSTP/FOTO TULAR

Dua daripada mangsa tercampak ke dalam longkang manakala seorang lagi dilihat dalam keadaan berlumuran darah di bawah jejambat.

Difahamkan, sekurang-kurangnya sembilan motosikal berada di bawah jejambat itu manakala jumlah keseluruhan mangsa yang terbabit dalam nahas berkenaan masoh disiasat.

Setakat ini, pihak polis dilaporkan baru selesai menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan dua mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk tindakan lanjut.

Keadaan lori yang merempuh penunggang motosikal. - NSTP/FOTO TULAR
Keadaan lori yang merempuh penunggang motosikal. - NSTP/FOTO TULAR

Berita Harian X