Isnin, 7 March 2022 | 2:58pm

Litar pintas mungkin punca eskalator terbakar

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan berlaku satu kebakaran yang memusnahkan kemudahan eskalator di pintasan pejalan kaki Jalan Ampang berhampiran Stesen Putra Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang Park di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata aduan kejadian itu diterima Pusat Kawalan Polis Dang Wangi pada jam 5.16 pagi tadi dan sepasukan polis kereta peronda (MPV) terus digerakkan ke lokasi.

"Bomba yang tiba di lokasi kejadian pada jam 5.35 pagi berjaya memadamkan kebakaran dan api menyebabkan kerosakan pada eskalator dan bumbung eskalator.

"Kebakaran mungkin berlaku akibat litar pintas pada kotak suis kawalan eskalator terbabit namun siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kejadian tidak membabitkan kemalangan jiwa dan pihak pengurusan kini menutup operasi eskalator kepada awam sebagai langkah keselamatan .

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataan, berkata empat jentera bersama 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah, BBP Titiwangsa dan BBP Jalan Tun Razak digerakkan ke lokasi sebaik menerima laporan pada jam 5.16 pagi.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Syahreman Hussain, berkata kebakaran membabitkan eskalator turun dan naik dan api merebak sehingga siling bumbung.

Katanya, kebakaran menyebabkan 90 peratus struktur di situ musnah dan pada peringkat ini, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Keadaan eskalator di pintasan pejalan kaki Jalan Ampang berhampiran Stesen Putra LRT Ampang Park yang terbakar awal pagi tadi. - Foto ihsan pembaca
Keadaan eskalator di pintasan pejalan kaki Jalan Ampang berhampiran Stesen Putra LRT Ampang Park yang terbakar awal pagi tadi. - Foto ihsan pembaca
Berita Harian X