SUNGAI BESAR: Seorang kanak-kanak lelaki cemas apabila jari hantu tangan kanannya tersangkut pada soket paip mesin basuh, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 3.08 petang, kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu dibawa ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar oleh ibu dan kakaknya bagi mendapatkan bantuan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata sepasukan enam anggota BBP Sungai Besar digerakkan bagi membantu mangsa.
"Ibu mangsa memaklumkan anak lelakinya bermain soket paip mesin basuh sebelum mengadu jarinya tersangkut.
"Pelbagai cara digunakan ahli keluarga bagi mengeluarkan soket paip itu namun gagal. Mereka kemudian membawa mangsa ke balai bomba," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Norazam berkata, pihak bomba memotong soket itu menggunakan peralatan khas yang mengambil masa kira-kira 10 minit.
"Anggota menjalankan pemeriksaan ke atas mangsa dan mendapati tiada kecederaan pada jarinya" katanya.