Rabu, 2 March 2022 | 8:11pm
 Kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jambatan Pulau Pinang menyebabkan kesesakan lalu lintas di situ. - Foto media sosial
Kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jambatan Pulau Pinang menyebabkan kesesakan lalu lintas di situ. - Foto media sosial

Brek mengejut punca 6 kereta kemalangan

BUTTERWORTH: Angkara seorang pemandu memberhentikan kereta dipandunya secara mengejut, menyebabkan lima kenderaan yang mengekori di belakangnya tidak sempat mengelak hingga berlaku kemalangan di Kilometer 4.1, Jambatan Pulau Pinang dari Perai menghala Georgetown pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata polis menerima maklumat berhubung kemalangan enam kenderaan itu pada jam 9.40 pagi yang berlaku di atas jambatan berkenaan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu sebuah daripada kereta dipercayai memberhentikan kenderaannya secara mengejut ekoran kesesakan di hadapannya.

"Susulan itu, lima kenderaan berada di laluan sama tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang setiap kenderaan.

"Semua mangsa terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan mereka masing-masing sudah membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959.

Shafee berkata, orang ramai dinasihatkan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan fokus dengan pemanduan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung kemalangan berkenaan hingga menyebabkan kesesakan sebelum masuk jambatan berkenaan.

Berita Harian X