Rabu, 2 March 2022 | 7:45pm
 Datuk Seri Najib Razak
Datuk Seri Najib Razak

Mahkamah tolak permohonan Najib tangguh pendengaran rayuan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak, untuk menangguhkan tarikh pendengaran permohonannya bagi memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Keterangan baharu yang ingin dimasukkan Najib dalam rayuannya adalah membabitkan dakwaan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya bersekongkol dalam rancangan jahat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low terhadap dirinya.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan selama dua hari bermula 15 Mac ini untuk mendengar permohonan itu, namun peguam Najib memohon ia dilapangkan bagi membolehkan pihaknya mendapatkan rekod rayuan tambahan.

Dokumen tambahan itu membabitkan semua nota, keterangan dan dokumen daripada mahkamah tinggi, bagi menyediakan hujahan bertulis.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul, memaklumkan media melalui WhatsApp, yang mengesahkan keputusan mahkamah menolak permohonan untuk melapangkan tarikh berkenaan yang diterima pendakwaan melalui e-mel pagi tadi.

Katanya, dengan keputusan itu, mahkamah akan mendengar permohonan Najib pada tarikh yang sudah ditetapkan sebelum ini.

Pada 7 Disember tahun lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara menolak permohonan Najib memasukkan bukti baharu selepas mendapati beliau gagal menunjukkan wujud keadaan luar biasa yang membolehkan mahkamah menerima bukti berkenaan.

Najib memfailkan notis usul pada 2 Disember tahun lalu dengan memohon mahkamah rayuan menerima masuk bukti baharu yang dikemukakan bagi membolehkan rayuannya didengar kembali sebelum dipertimbangkan panel hakim bagi keputusan.

Sehari selepas itu, panel sama menolak rayuan dan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas tujuh tuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan dana SRC.

Bukti baharu dimohon Najib untuk dimasukkan bagi tujuan rayuannya ialah keterangan viva voce (lisan) Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussein dan keterangan saksi lain atau apa-apa keterangan tambahan lanjut yang berbangkit.

Rosli adalah saksi pendakwaan ke-57 dalam perbicaraan kes SRC, manakala Azam tidak pernah dipanggil memberi keterangan sama ada sebagai saksi pendakwaan atau pembelaan.

Najib dalam afidavit sokongannya berkata, beliau memfailkan notis usul itu selepas mendapati keterangan berkaitan pembabitan Zeti dan ahli keluarganya tidak dimaklumkan atau didedahkan kepada pasukan pembelaan sebelum atau sepanjang perbicaraannya.

Najib mendakwa, keterangan baharu itu sekiranya tidak 'disorok' Bank Negara Malaysia (BNM), SPRM dan juga pendakwaan, boleh menyebabkan keputusan Mahkamah Tinggi berpihak kepadanya dan mampu menimbulkan keraguan munasabah dalam kes SRC International.

Berita Harian X