Rabu, 2 March 2022 | 4:09pm
Anggota polis melakukan pemeriksaan ketika operasi pematuhan SOP di sebuah pusat hiburan di ibu negara. - FOTO IHSAN PDRM
Anggota polis melakukan pemeriksaan ketika operasi pematuhan SOP di sebuah pusat hiburan di ibu negara. - FOTO IHSAN PDRM

Pemilik, pengunjung pusat hiburan dikompaun RM45,000

KUALA LUMPUR: Polis mengeluarkan kompaun keseluruhan RM45,000 ke atas pemilik dan pengunjung sebuah pusat hiburan di ibu negara, semalam kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dalam serbuan jam 10 malam itu, sepasukan pegawai Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur mengenakan kompaun RM1,000 kepada setiap 44 pengunjung dan seorang pemilik premis.

Ketua JPJKK Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, tindakan kompaun mengikut Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) PPN 4 2021 kerana melakukan aktiviti terlarang dalam pub serta kelab malam.

"Bagi statistik dari 1 Januari lalu hingga kini, JPJKK Kuala Lumpur mengeluarkan kompaun berjumlah RM451,000 atau RM1,000 bagi setiap 451 kompaun kepada pemilik dan pengunjung pusat hiburan di sekitar Kuala Lumpur.

"Semua kompaun dikeluarkan mengikut Akta 342 APPPB yang dikuatkuasakan oleh kerajaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi semua SOP ditetapkan bagi mengelak penularan jangkitan COVID-19 yang masih tinggi demi keselamatan umum.

"Operasi seperti ini akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam usaha membantu kerajaan mengawal penularan wabak COVID-19, demi kesejahteraan masyarakat bersama," katanya.

Berita Harian X