Selasa, 1 March 2022 | 11:01pm

Lelaki maut dihanyut arus deras bersama kereta

SANDAKAN: Seorang lelaki ditemukan maut dalam kenderaannya hari ini selepas dipercayai dihanyutkan arus deras di Jambatan Sungai Mamanjang iaitu 50 kilometer dari sini.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata kejadian pada jam 1.15 tengah hari tadi berlaku ketika air sungai melimpah susulan hujan lebat.

"Siasatan awal polis mendapati mangsa, Kahar Asis, 26, keluar dari rumahnya untuk ke tempat kerja di kilang minyak sawit Ladang Hassan dengan menaiki kenderaannya selepas rehat makan tengah hari.

"Mangsa dipercayai meredah kawasan itu dan akhirnya dihanyutkan arus deras ke dalam sungai bersama kenderaannya," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Azhar berkata, mayat mangsa ditemukan dalam kenderaannya kira-kira 30 meter dari tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Duchess of Kent di sini untuk bedah siasat.

Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Beluran bersama agensi penyelamat lain mengeluarkan kenderaan jenis PROTON Iswara itu menggunakan jentera jengkaut.

Justeru, Azhar menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil risiko dengan meredah arus deras ketika paras air semakin meningkat susulan hujan lebat. – BERNAMA

Berita Harian X