Selasa, 1 March 2022 | 8:42pm

Lelaki hilang dibawa arus disahkan lemas

PASIR MAS: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang dibawa arus kelmarin, ditemukan lemas di Kampung Kubang Jejuluk, Rantau Panjang petang tadi.

Mangsa, Ahmad Faizal Zulkifli, 26, ditemukan Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersama Ketua Balai Polis Rantau Panjang jam 3.35 petang.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin Md Nasir, berkata pihaknya menerima laporan pemuda berkenaan dilaporkan hilang dibawa arus kelmarin, sebelum operasi mencari dan menyelamat dijalankan.

"Pada jam 3.35 petang tadi, mayat mangsa ditemui di belakang kedai Eco di Kampung Kubang Jejuluk.

"Mangsa adalah penduduk di kampung berkenaan dan bekerja sendiri. Mayat kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Untuk rekod, mangsa adalah korban keempat banjir di Kelantan. Sebelum ini, seorang remaja ditemukan lemas petang semalam, manakala dua lagi mangsa disahkan maut kelmarin.

Berita Harian X