Selasa, 1 March 2022 | 7:00pm

Polis rampas dadah RM1.2 juta, tahan penganggur

KUCHING: Seorang lelaki ditahan bersama sejumlah bungkusan beras berisi dadah jenis syabu dan ketamin dianggarkan bernilai RM1.2 juta dalam serbuan di tiga lokasi berasingan, Sabtu lalu.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, berkata dadah terbabit dirampas hasil operasi dilancarkan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

Dalam serbuan pertama kira-kira jam 1.30 tengah hari di kaki lima sebuah kafe di Jalan Penrissen, di sini, beliau berkata, polis menahan seorang penganggur berusia 27 tahun disyaki pengedar dadah.

"Hasil pemeriksaan dijalankan terhadap suspek, membawa kepada penemuan enam bungkusan beras yang setiap satu mengandungi plastik lut sinar berisi bahan kristal dipercayai syabu seberat 6,098 gram (g).

"Susulan itu, polis dibawa suspek ke sebuah syarikat kurier di Jalan Tun Ahmad Zaidi pada jam 2 petang hari sama sebelum menemui sebuah kotak mengandungi enam lagi beg plastik putih dan hijau.

"Setiap beg plastik itu mengandungi peket plastik lut sinar berisi bahan kristal dipercayai syabu seberat 6,096g," katanya pada sidang media di IPK Sarawak, hari ini.

Seterusnya, Mancha berkata, suspek membawa polis ke sebuah rumah di Kampung Bumbok, Jalan Batu Kitang, kira-kira jam 3 petang hari sama.

"Di lokasi ketiga itu, polis menemui sebuah kotak mengandungi 13 peket plastik lut sinar berisi dadah dipercayai ketamin seberat 13.4g serta syabu 664g di dalam bilik tidur.

"Secara keseluruhan, polis merampas sejumlah 25.5 kilogram dadah, sebuah kenderaan pelbagai guna bernilai RM30,000 dan sebuah motosikal bernilai RM8,000 dalam tiga serbuan itu," katanya.

Beliau berkata, dadah dirampas itu dikenal pasti dihantar dari Semenanjung menggunakan perkhidmatan kurier, dan polis sedang mengesan rangkaian pengedaran dadah berkenaan, termasuk sindiket disyaki terbabit.

"Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Dia kini direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara seumur hidup dan sekurang-kurang 15 sebatan," katanya.

Mancha menunjukkan dadah dirampas hasil operasi JSJN, pada sidang media, hari ini. - NSTP/Nadim Bokhari
Mancha menunjukkan dadah dirampas hasil operasi JSJN, pada sidang media, hari ini. - NSTP/Nadim Bokhari
Berita Harian X