Isnin, 28 Februari 2022 | 7:38pm
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Remaja 15 tahun korban ketiga banjir di Kelantan

PASIR MAS: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun menjadi korban ketiga banjir di Kelantan selepas ditemukan lemas di Kampung Kedepan Banggol Kulim, dekat Rantau Panjang, petang tadi.

Mayat Hawari Kaday, yang hilang dibawa arus banjir malam tadi ditemukan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang jam 3.50 petang.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin Md Nasir berkata, pihaknya menerima laporan jam 8.30 malam tadi memaklumkan seorang remaja lelaki hilang dibawa arus banjir di kampung berkenaan.

Susulan itu, katanya gerakan mencari dijalankan sepasukan anggota bomba dan penyelamat. Lebih kurang jam 3.50 petang tadi, mayat mangsa ditemui tidak jauh dari lokasi kejadian.

"Mayat dibawa ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang dan doktor mengesahkan kematian mangsa disebabkan lemas.

"Pemeriksaan terhadap badan mangsa juga tidak menemui sebarang kecederaan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya

Berita Harian X