Isnin, 28 Februari 2022 | 1:22pm
(Gambar fail) Bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabudin Mohd Salleh. - FOTO BERNAMA
(Gambar fail) Bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabudin Mohd Salleh. - FOTO BERNAMA

Sabudin kekal bebas, Mahkamah Tinggi tolak rayuan pendakwaan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabudin Mohd Salleh, daripada pertuduhan menerima rasuah wang tunai RM150,000 pada 2018.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid, menolak rayuan pendakwaan serta memutuskan bahawa tiada alasan baginya untuk mengubah atau mencampuri keputusan Mahkamah Sesyen pada 8 April tahun lalu itu.

Sabudin, 60, yang memakai sut hitam, dilihat melakukan sujud syukur di luar mahkamah susulan keputusan itu.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Sabudin yang juga bekas Timbalan Pengarah Kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL, daripada pertuduhan secara rasuah menerima bagi dirinya barangan berharga berupa wang tunai RM150,000 daripada pengarah Syarikat Tegap Elit Sdn Bhd.

Ia sebagai dorongan untuk beliau melakukan suatu perbuatan bawah hal ehwal prinsipalnya, iaitu memperakukan sijil bayaran kemajuan tuntutan yang dikemukakan oleh beberapa syarikat.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Ukay Perdana, di sini, antara 13 hingga 19 Ogos 2018, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, pendakwaan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan.

Pada prosiding itu, Sabudin diwakili peguam, K Theivaendran.

Berita Harian X