Ahad, 27 Februari 2022 | 11:57pm

Bau busuk bongkar penemuan mayat

TUARAN: Bau busuk dari dalam kenderaan berparkir di kawasan Kampung Lakang, Tamparuli, di sini, membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang, hari ini.

Mayat John Maria Ambrose, 62, berasal dari Kampung Tambalugu, Tamparuli ditemui orang awam pada jam 7.20 malam selepas usaha penduduk mencarinya dijalankan sejak semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai laporan orang hilang pada jam 5.24 petang tadi.

Katanya, seramai tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian dengan satu kenderaan utiliti pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Difahamkan, penduduk Kampung Tambalugu mencari mangsa yang tidak kembali ke rumah sejak petang semalam sebelum pihak bomba dimaklumkan petang tadi dan segera menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Namun kira-kira dua jam kemudian, pasukan bomba menghentikan operasi sebaik menerima maklumat daripada pihak polis mengenai penemuan mangsa sejauh dua kilometer dan disahkan meninggal dunia," katanya.

Katanya, mayat diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Tuaran untuk tindakan lanjut.

"Operasi ditamatkan pada jam 8.37 malam kemudian," katanya dihubungi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim mengesahkan penemuan mayat terbabit.

"Setakat ini, kes masih dalam siasatan sama ada berlaku unsur jenayah atau sebaliknya," katanya.

Berita Harian X