Ahad, 27 Februari 2022 | 7:00pm

Pikap terbabas punca nahas empat beranak maut

KUALA LUMPUR: Kemalangan mengorbankan nyawa empat beranak termasuk dua kanak-kanak di Lebuhraya Sultan Iskandar berhampiran Wisma Tani, hari ini berpunca daripada sebuah pikap yang terbabas ketika melalui jalan berselekoh di situ.

Dalam nahas kira-kira jam 11.20 pagi itu, pikap Toyota Hilux dipandu seorang lelaki dikatakan dalam perjalanan dari Bangi ke Selayang.

Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku apabila Toyota Hilux itu dipandu dari arah Mahameru ke Jalan Tun Razak dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas di selekoh tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata pikap berkenaan kemudian melanggar pokok di pembahagi jalan.

"Selepas itu, pikap itu masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex dinaiki empat sekeluarga yang dalam perjalanan dari arah Jalan Tun Razak.

"Kesemua mangsa berusia antara tiga hingga 31 tahun dalam kenderaan itu disahkan meninggal dunia di lokasi oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung punca sebenar kemalangan termasuk membuat ujian saringan air kencing terhadap pemandu Toyota Hilux dalam masa terdekat.

"Lelaki berusia 27 tahun itu mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di HKL. Dia akan ditahan untuk siasatan lanjut.

"Mayat empat beranak yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk proses bedah siasat," katanya.

Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Sarifudin meminta saksi kejadian dan mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu tampil membantu siasatan.

Mereka boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran.

Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Hamdan Samad, dalam kenyataan berkata, dua pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Hartamas dikejarkan ke lokasi untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Mangsa disahkan pasangan suami isteri, Milan Damani, 32, dan S C Tinisha, 31, serta dua anak lelaki, Ishaan Ivaan Damani, tiga tahun, dan Rivaan Ivaan Damani, empat tahun.

"Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Pemandu Toyota Hilux mengalami kecederaan dan sudah dikejarkan ke hospital terlebih dahulu sebelum pasukan bomba tiba di lokasi," katanya.

Nahas dua kenderaan yang mengorbankan nyawa empat beranak di Lebuhraya Sultan Iskandar berhampiran Wisma Tani, Kuala Lumpur, hari ini. NSTP/Ihsan PDRM
Nahas dua kenderaan yang mengorbankan nyawa empat beranak di Lebuhraya Sultan Iskandar berhampiran Wisma Tani, Kuala Lumpur, hari ini. NSTP/Ihsan PDRM
Berita Harian X