Ahad, 27 Februari 2022 | 1:35pm

Empat sekeluarga maut nahas dua kenderaan

KUALA LUMPUR: Empat sekeluarga yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) maut selepas kenderaan itu bertembung sebuah pikap yang hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan di Lebuhraya Sultan Iskandar di sini, hari ini.

Kesemua mangsa termasuk dua kanak-kanak lelaki berusia tiga dan empat tahun yang menaiki Hyundai Starex disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat dirempuh sebuah Toyota Hilux dipandu seorang lelaki.

Identiti mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Milan Damani, 32, S C Tinisha, 31, dan dua kanak-kanak lelaki, Ishaan Ivaan Damani, tiga tahun dan Rivaan Ivaan Damani, empat tahun.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Hartamas dikejarkan ke lokasi sebaik menerima laporan kejadian pada jam 10.52 pagi untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Hamdan Samad, berkata kemalangan itu menyebabkan empat mangsa terdiri seorang lelaki dan wanita serta dua kanak-kanak tersepit dalam kenderaan yang remuk.

"Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Seorang lelaki berusia 27 tahun yang memandu Toyota Hilux mengalami kecederaan dan sudah dikejarkan ke hospital sebelum pasukan bomba tiba di lokasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pihak bomba difahamkan Toyota Hilux yang dalam perjalanan arah ke Seremban hilang kawalan memasuki arah bertentangan dan bertembung dengan Hyundai Starex yang dalam perjalanan arah ke bangunan Parlimen.

Empat sekeluarga maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Lebuhraya Sultan Iskandar di ibu negara, hari ini.
Empat sekeluarga maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Lebuhraya Sultan Iskandar di ibu negara, hari ini.
Berita Harian X