Sabtu, 26 Februari 2022 | 4:28pm

OP MARDOF: 50 individu, 26 bot ditahan

LUMUT: Seramai 50 individu termasuk 40 warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama Jabatan Perikanan Malaysia melalui OP MARDOF 01/2022 di empat negeri sejak 15 Januari lalu hingga semalam.

Dalam operasi bersepadu itu, pihak berkuasa turut menahan 25 bot nelayan tempatan dan sebuah bot nelayan asing, selain merampas 326 set bubu naga.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya (Maritim) Datuk Kamaruszaman Abu Hassan berkata, operasi membabitkan empat sektor perairan iaitu perairan Perak (Op MARDOF Barat), Labuan (OP MARDOF Labuan), Pahang (OP MARDOF Timur) dan Bintulu (OP MARDOF Bintulu) membabitkan 23 aset laut kedua-dua agensi serta dua aset udara Maritim Malaysia.

Katanya, fokus operasi lebih tertumpu kepada pemeriksaan vesel dan kru serta kempen kesedaran keselamatan bagi mengenal pasti kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985.

"Sebanyak 277 pemeriksaan membabitkan 62 di darat dan 215 di laut dilakukan sepanjang operasi yang merekodkan 25 kes tangkapan bot nelayan tempatan dan sebuah bot nelayan asing Vietnam bersama 13 kru di perairan Pahang.

"Tangkapan tertinggi sebanyak 23 kes direkodkan melalui OP MARDOF Barat di perairan Perak antara 17 hingga 19 Januari lalu, atas pelbagai kesalahan seperti gagal mematuhi syarat lesen, melanggar zon tangkapan perikanan dan penggunaan alatan tidak dibenarkan," katanya pada sidang media majlis penutup OP MARDOF 1/2022 di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Perak, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Jabatan Perikanan, Sufian Sulaiman.

Kamaruszaman berkata, melalui pemeriksaan dan operasi di laut terutama di Zon A memastikan komuniti nelayan tradisional melakukan aktiviti perikanan tanpa pelanggaran atau pencerobohan zon oleh bot nelayan Kelas B dan C, bot pukat tunda, penggunaan bubu naga serta bot nelayan asing.

"Kerjasama ini sebagai inisiatif kedua-dua agensi membangunkan keupayaan sumber manusia sejajar tuntutan semasa terutamanya dalam menangani isu membabitkan Akta Perikanan 1985 berikutan perubahan syarat dan peraturan berkaitan pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kepada warga asing yang terbabit dalam aktiviti perikanan.

"Operasi ini penting dalam memperkasa kemahiran teknikal penguatkuasaan, perkongsian maklumat dan kepakaran pengendalian siasatan terutama berkaitan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985. Kita juga akan memperluaskan lagi operasi seperti ini," katanya.

Kamaruszaman (kiri) menandatangi plak perasmian bilik mesyuarat Maritim Malaysia Lumut sempena majlis perasmian penutup OP MARDOF 1/2022 hari ini. FOTO NSTP/ NOOR HIDAYAH TANZIZI.
Kamaruszaman (kiri) menandatangi plak perasmian bilik mesyuarat Maritim Malaysia Lumut sempena majlis perasmian penutup OP MARDOF 1/2022 hari ini. FOTO NSTP/ NOOR HIDAYAH TANZIZI.
Berita Harian X