Jumaat, 25 Februari 2022 | 5:29pm
 Lau Seck Yan, yang dituduh membunuh suaminya dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, untuk sebutan semula kes.NSTP/ Foto Ahmad Hasbi
Lau Seck Yan, yang dituduh membunuh suaminya dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, untuk sebutan semula kes.NSTP/ Foto Ahmad Hasbi

Isteri bunuh suami diarah jalani pemerhatian psikiatrik

SEREMBAN: Seremban: Seorang suri rumah berusia 55 tahun yang dituduh menikam mati suaminya pada 23 Januari lalu, diarah menjalani pemerhatian psikiatrik di Hospital Permai, Johor Bahru, Johor, selama sebulan.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Norzaliza Tesmin terhadap Lau Seck Yan selepas permohonan dibuat peguam Joshua Nga Koo Koy yang mewakili tertuduh dalam sebutan semula kes berkenaan di Mahkamah Majistret Seremban, hari ini.

Seck Yan yang juga bekas calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 2018, didakwa membunuh Poh Seng Hiap, bekas akauntan syarikat swasta di sebuah rumah di Rasah Kemayan, di sini, antara jam 3.30 petang hingga 4.30 petang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Koo Koy membuat permohonan itu selepas anak guamnya mempunyai sejarah bertindak agresif dan ganas yang boleh mendatangkan kecederaan terhadap ahli keluarga.

Beliau berkata, pihaknya sudah menghantar dua afidavit bagi menyokong hujah itu yang ditandatangani dua anak perempuan Seck Yan pada 22 dan 23 Februari lalu.

"Anak sulung wanita itu juga pernah membuat laporan polis pada 22 Disember tahun lalu mengenai keadaan kesihatan ibunya yang memerlukan rawatan.

"Pada 19 Disember 2021 dia menerima pesanan menerusi WhatsApp daripada bapanya yang menetap di rumah menyatakan sudah tidak tahan tinggal bersama ibunya kerana sering mencederakannya," katanya ketika prosiding.

Koo Koy berkata, tertuduh juga sudah beberapa kami mencederakan mangsa dan perkara itu dalam pengetahuan anak pasangan terbabit.

"Mereka mendakwa tertuduh mempunyai masalah skizoprenia dan bapanya juga menghantar gambar (kecederaan). Mereka pernah beberapa kali memujuk tertuduh mendapatkan rawatan, namun enggan dan terus mengamuk," katanya.

Koo Koy berkata, anak wanita itu juga menemui satu 'nota bunuh diri' dalam bilik tertuduh beberapa hari lalu yang ditulis pada 2008 yang mana kandungannya meminta ahli keluarga tidak bersedih jika tertuduh meninggal dunia.

Beliau berkata, dalam nota itu juga tertuduh meminta maaf terhadap suaminya jika mencederakan mangsa dan menyakitkan hatinya.

Justeru, katanya, anak guamnya mengalami masalah bipolar dan memerlukan rawatan sebelum pihak pendakwaan menyatakan tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan itu.

Norzaliza kemudian mengarahkan tertuduh menjalani pemerhatian di fasiliti berkenaan selama sebulan dan sebutan semula kes pada 23 Mac depan bagi laporan kimia serta psikiatrik.

Media sebelum ini melaporkan mangsa ditemukan maut di dapur rumah mereka selepas dipercayai ditikam dua kali di bahagian dada dan pinggang menggunakan senjata tajam oleh isterinya.

Pasangan itu mempunyai empat anak dan ketika kejadian, anak ketiga dan keempat menjadi saksi kejadian.

Berita Harian X