Jumaat, 25 Februari 2022 | 2:00pm
 Lingkswaran, (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. NSTP/L MANIMARAN
Lingkswaran, (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. NSTP/L MANIMARAN

Lelaki tak mengaku salah cederakan 2 individu guna parang

IPOH: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, atas dua pertuduhan mencederakan dua individu sehingga parah pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, V Lingkswaran, 25, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Mengikut pertuduhan, Lingkswaran yang bekerja sebagai penyelia pengangkutan didakwa sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa, P Navaneshwaran, 24, dengan menggunakan sebilah parang yang boleh menyebabkan kematian.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Sekolah, Guntong pada jam 11 malam, 19 Februari 2022.

Tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan sama terhadap N Laxmi,29, pada waktu, tarikh dan lokasi sama.

Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqa Liyana Rozman, manakala tertuduh diwakili peguam, Dayang Nor Emilia Azman Shah.

Afiqa Liyana memohon mahkamah tidak menawarkan wang jaminan kerana kedua-dua rumah mangsa berhampiran rumah tertuduh dan kes adalah kesalahan berat membabitkan kecederaan parah kepada mangsa dengan menggunakan senjata.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan keluarganya sehingga kes selesai serta perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 20 April depan.

Media sebelum ini melaporkan, polis menahan tiga lagi suspek dipercayai terbabit dalam kejadian kekecohan di pekarangan Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini tengah malam Sabtu lalu, menjadikan empat tangkapan setakat ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata, ketiga-tiga lelaki berusia antara 18 hingga 21 tahun itu ditahan di sekitar Ipoh antara jam 7.45 petang hingga 11 malam Ahad lalu.

Berita Harian X