Khamis, 24 Februari 2022 | 3:52pm
Mohamad Farol Rafiq Md Rodzi, 29, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini kerana mencederakan bapa tirinya dalam kejadian di Kampung Ruat, Yan minggu lalu.- Foto NSTP/Izad Thaqif Hassan
Mohamad Farol Rafiq Md Rodzi, 29, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini kerana mencederakan bapa tirinya dalam kejadian di Kampung Ruat, Yan minggu lalu.- Foto NSTP/Izad Thaqif Hassan

Lelaki tendang bapa tiri mengaku tidak bersalah

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan mencederakan bapa tirinya minggu lalu.

Tertuduh, Mohamad Farol Rafiq Md Rodzi, 29, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Majistret Nadirah Abdul Rahim.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja kampung didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada bapa tirinya, Nordin Ahmad, 72.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Masjid, Kampung Ruat, Yan, kira-kira jam 7 pagi pada 15 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hamizah Mat Shah manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Farahdina Che Bakar.

Terdahulu, Nur Hamizah memohon mahkamah mengenakan ikan jamin RM8,000 ke atas tertuduh dan meminta dia tidak mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, Farahdina memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan lebih rendah kerana tertuduh seorang kurang upaya mental dan hanya mengambil upah melakukan kerja kampung.

Nadirah kemudian menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh dihantar untuk pemeriksaan psikiatri di hospital.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh tidak berhubung atau mendekati mangsa dan dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sepanjang proses perbicaraan.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Mac untuk tarikh sebutan semula kes.

Dalam kejadian 15 Februari lalu, video seorang lelaki menendang dada dan kepala bapa tirinya tular di media sosial.

Lelaki terbabit dikatakan mengamuk kerana bapa tirinya itu enggan memberikan wang seperti dimintanya.

Berita Harian X