Rabu, 23 Februari 2022 | 8:38pm
Seorang penghantar barang maut selepas motosikal ditungganginya terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 8, Jalan Nitar-Mersing, petang tadi. - Foto tular Media Sosial
Seorang penghantar barang maut selepas motosikal ditungganginya terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 8, Jalan Nitar-Mersing, petang tadi. - Foto tular Media Sosial

Motosikal bertembung lori, penghantar barang maut

MERSING: Seorang penghantar barang maut selepas motosikal ditungganginya terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 8, Jalan Nitar-Mersing, hari ini.

Dalam nahas kira-kira jam 1.50 petang itu, mangsa dikenali sebagai Muhammad Luqman Hakim, 24, dalam perjalanan untuk menghantar barang di Felda Nitar di sini.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edrward Nuing, berkata lori berkenaan dari syarikat penghantaran yang sama, bagaimanapun pemandunya tidak cedera.

Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati lori Hino dipandu seorang lelaki dari Felda Nitar dalam perjalanan menuju ke Bandar Mersing.

"Setiba di lokasi kejadian, lori dipandu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan dan dilanggar motosikal ditunggang mangsa.

"Akibat kemalangan ini, penunggang motosikal berasal dari Mersing, parah pada badan dan kepala.

"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan oleh paramedik Hospital Mersing," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes diklasifikasi mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X