Rabu, 23 Februari 2022 | 1:37pm
Kereta Perodua Kancil dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatan mencuri kabel di sekitar daerah Port Dickson. - Foto ihsan polis
Kereta Perodua Kancil dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatan mencuri kabel di sekitar daerah Port Dickson. - Foto ihsan polis
Antara barangan yang turut dirampas polis. - Foto ihsan polis
Antara barangan yang turut dirampas polis. - Foto ihsan polis

Lelaki curi kabel ditahan polis

PORT DICKSON: 'Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua', bidalan ini sesuai digunakan kepada seorang lelaki yang membuat kerja onar mencari rezeki dengan mencuri kabel.

Lelaki berusia 34 tahun ini, akhirnya ditahan polis dipercayai terbabit dalam kes membabitkan kecurian kabel di sekitar daerah Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata suspek ditahan di pekarangan Flat D'Pinggiran Kota, Lukut, Port Dickson.

"Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson menahan suspek dipercayai terbabit dalam beberapa kes kecurian kabel di sekitar daerah ini.

"Polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Perodua Kancil yang digunakan suspek," katanya dalam satu kenyataan media di sini, tadi.

Katanya, polis turut merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatan, iaitu lima alat pemotong wayar, gergaji besi, dua pemutar skru T, spanar boleh laras, pisau lipat, alat ragum, 'allen key', sehelai vest oren dan lima batang kabel tembaga.

"Hasil siasatan, suspek juga mempunyai empat rekod lampau jenayah, 14 rekod dadah dan kini masih ditahan reman di lokap IPD Port Dickson sehingga esok (24 Februari) untuk siasatan lanjut," katanya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana melakukan kegiatan curi yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Berita Harian X