Selasa, 22 Februari 2022 | 6:43pm

Anggota Maritim Malaysia didakwa 80 tuduhan terima suapan RM21,750

BUTTERWORTH: Seorang penjawat awam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 80 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM21,750 dari 2017 hingga 2019.

Azmawi Zakaria, 47, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu selepas dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut semua pertuduhan, tertuduh yang ketika itu Bintara Kanan Maritim di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Kedah, menerima wang berjumlah RM21,750 daripada seorang individu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank cawangan Wisma Jelutong Georgetown, antara 16 November 2017 hingga 30 Mei 2019 dan Azmawi mengetahui individu itu mempunyai hubungan rasmi dengan jawatannya.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Mohamad Fauzee Azizan mencadangkan jaminan RM30,000 bagi semua pertuduhan dan memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar dengan satu kes tertuduh lain yang sedang berjalan di mahkamah itu kerana membabitkan saksi pendakwaan sama.

Peguam P Taneswaran dan Yuvanes Taruman yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM10,000 atas alasan tertuduh memberi kerjasama baik dan isteri tertuduh hadir ke mahkamah untuk menjadi penjamin.

Mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM berdekatan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Hakim turut membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 24 Februari ini. – BERNAMA

Berita Harian X