Selasa, 22 Februari 2022 | 6:36pm

Kemasukan PATI warga Myanmar meningkat - PGA

RANTAU PANJANG: Kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) membabitkan warga Myanmar ke negara ini meningkat mendadak kebelakangan ini dengan 99 tangkapan direkodkan sejak awal Januari lalu.

Pegawai Pemerintah Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8), Superitendan Mat Shukor Yusof, berkata siasatan masih dijalankan pihaknya dengan kerjasama pihak berkuasa Thailand untuk mengenal pasti punca peningkatan itu.

Beliau berkata, keadaan muka bumi sepanjang sempadan Kelantan-Thailand yang mana dua negara hanya dipisahkan sebatang sungai, boleh menjadi antara faktor memudahkan penyeludup menjalankan kegiatan haram berkenaan.

Selain itu, katanya pihaknya juga dimaklumkan mengenai tangkapan ketua sindiket penyeludupan manusia oleh polis Thailand baru-baru ini, ketika suspek cuba membawa masuk 31 PATI dari Myanmar ke Malaysia menerusi Songkhla.

"Kita tidak menolak kemungkinan pertambahan kes di sini juga membabitkan sindiket berkenaan. Mereka bijak 'menyembunyikan diri' dengan mengupah individu lain untuk dijadikan tekong untuk membawa PATI," katanya ketika sidang media di Markas Taktikal Lubok Stol, Briged Tenggara PGA hari ini.

Mengenai keputusan pembukaan sempadan, Mat Shukor berkata, ia tidak memberi kesan kepada kegiatan keluar masuk PATI kerana mereka dipercayai tetap menggunakan laluan tikus atau laluan haram yang menyalahi undang-undang negara.

"Kemasukan PATI Myanmar sebelum ini aktif di kawasan Selat melaka membabitkan Langkawi, Kedah dan Perlis, namun trend terbaharu dilihat beralih ke sempadan Kelantan-Thailand.

"Biasanya apabila sempadan dibuka, yang dirisaukan adalah kes penggunaan dokumen palsu ketika melalui proses pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

"Justeru agensi berkenaan perlu peka situasi terbabit, manakala PGA terus membuat kawalan ketat dan mengenal pasti pelbagai strategi baharu penyeludup yang aktif menjalankan jenayah rentas sempadan," katanya.

Dalam pada itu, Mat Shukor berkongsi PGA8 semalam menahan tujuh PATI membabitkan warga Thailand dan China dalam dua sekatan berbeza di sekatan jalan raya Lalang Pepuyu, dekat sini.

Semua PATI tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan kes disiasat di bawah Seksyen 55E(1), Seksyen 6(1) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

Mat Shukor ketika sidang media tangkapan PATI di di Markas Taktikal Lubok Stol, Briged Tenggara PGA hari ini. - FOTO NSTP / SYAHERAH MUSTAFA
Mat Shukor ketika sidang media tangkapan PATI di di Markas Taktikal Lubok Stol, Briged Tenggara PGA hari ini. - FOTO NSTP / SYAHERAH MUSTAFA
Berita Harian X