SEREMBAN: Sebuah premis yang mengeluarkan makanan mi kuning dan kuetiau di Taman Industri Ringan di sini, diserbu pihak berkuasa, hari ini selepas disyaki menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tanpa kebenaran.
Malah, Sijil Pengesahan Halal bagi produk yang dihasilkan di premis terbabit didapati tamat tempoh pada 2016.
Penemuan itu hasil operasi penguatkuasaan yang dijalankan lima pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan bersama-sama empat pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
Pengarah KPDNHEP negeri, Ain Arjuna Aziz Zaman, berkata tindakan itu diambil hasil pemantauan dibuat pihaknya dan penguat kuasa JHEAINS selama seminggu.
Beliau berkata, pemilik premis terbabit didapati menggunakan logo halal JAKIM pada produk makanan dikeluarkan tanpa mendapat perakuan halal sah daripada JHEAINS.
"Hasil daripada siasatan dan pemeriksaan dijalankan mendapati, sijil halal bagi produk dihasilkan di premis itu tamat tempoh pada 2016 lagi.
"Perniagaan itu dimiliki seorang warga negara tempatan dan mula beroperasi pada 2013.
"Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil atas kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, sitaan berjumlah RM50 telah dilakukan membabitkan 33 bungkus mi dan dua gulung plastik pembungkus yang mempunyai logo halal.
Ain Arjuna berkata, pihaknya mengingatkan semua peniaga supaya tidak menggunakan logo halal JAKIM sekiranya tidak mendapat sijil halal yang sah daripada pihak berkuasa berwibawa yang bertanggungjawab iaitu JHEAINS.
Sebarang aduan boleh disalurkan melalui beberapa saluran iaitu e-aduan.kpdnhep (https://eaduan.kpdnhep.gov.my).