Selasa, 22 Februari 2022 | 3:46pm
Anggota Tentera Darat bersama 6 PATI dan seorang tekong yang ditahan di Lubok Antu, malam tadi. - Foto MARKAS 1 DIVISYEN INFANTRI
Anggota Tentera Darat bersama 6 PATI dan seorang tekong yang ditahan di Lubok Antu, malam tadi. - Foto MARKAS 1 DIVISYEN INFANTRI

6 PATI ditahan, tiga lagi diusir

KUCHING: Seorang tekong darat dan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan, manakala tiga lagi diusir dalam dua tangkapan berasingan dilakukan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di Lubok Antu, malam tadi.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya, Markas 1 Divisyen Infantri, berkata dalam kejadian pertama kira-kira jam 9.55 malam di kawasan ladang kelapa sawit berdekatan sempadan, tiga lelaki warga Indonesia berusia 21 hingga 30 tahun dikesan oleh anggota yang melakukan penugasan serang dan tangkap (Serkap) ketika cuba memasuki Sarawak.

"Hasil pemeriksaan mendapati mereka tiada dokumen perjalanan yang sah. Tiada barang terlarang dijumpai dan mereka masuk ke Malaysia untuk mendapatkan pekerjaan. Selepas laporan dibuat di Balai Polis Lubok Antu, tiga PATI itu diusir ke negara asal," katanya.

Susulan kejadian itu, anggota TDM yang terbabit dalam Op Benteng meneruskan rondaan dan mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Lubok Antu, pada jam 12.30 tengah malam.

"Pemeriksaan terhadap kereta dipandu lelaki tempatan itu mendapati dia membawa enam penumpang warga Indonesia berusia 30 hingga 55 tahun, termasuk seorang wanita. Lelaki serta enam PATI terbabit kemudian ditangkap dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya lagi, TDM terus kekal siaga dan komited mengekang pencerobohan PATI serta sebarang bentuk jenayah rentas sempadan.

Berita Harian X