Selasa, 22 Februari 2022 | 1:08pm
Abdul Aziz Abdullah dikawal polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Gua Musang, hari ini. - Foto PDRM
Abdul Aziz Abdullah dikawal polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Gua Musang, hari ini. - Foto PDRM

Penganggur didakwa bunuh ibu tiri

GUA MUSANG: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh ibu tirinya di sebuah rumah di Kampung Batu Machang, Jerek, Rabu lalu.

Abdul Aziz Abdullah, 33, yang juga orang kelainan upaya (OKU) mental mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah.

Dia didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Rahana Abd Razak, 55, dalam bilik sebuah rumah di Kampung Batu Machang, antara jam 3.30 hingga 4.30 petang pada 16 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 21 April depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan hasil bedah siasat mangsa.

Pada 17 Februari lalu, mahkamah membenarkan polis untuk menahan reman Abdul Aziz selama tujuh hari selepas dia menyerah diri tampil menyerah diri di Balai Polis Bertam sejurus selepas kejadian berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumahnya, manakala senjata yang disyaki digunakan dalam kejadian itu juga dijumpai di lokasi.

Mayat dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X