Ahad, 20 Februari 2022 | 9:11pm
Seramai 24 PATI warga Myanmar termasuk seorang kanak-kanak lelaki yang diseludup memasuki negara ini menggunakan dua buah kenderaan mewah ditahan di Kampung Batu 4. - Foto PDRM
Seramai 24 PATI warga Myanmar termasuk seorang kanak-kanak lelaki yang diseludup memasuki negara ini menggunakan dua buah kenderaan mewah ditahan di Kampung Batu 4. - Foto PDRM

Tekong darat dibayar RM1,500 bawa PATI Kelantan ke Kepong

TANAH MERAH: Seramai 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diseludup menggunakan dua kenderaan mewah jenis Hyundai Starex dan Toyota Vellfire, ditahan polis pagi tadi.

Tangkapan warga Myanmar berusia sekitar 15 hingga 41 tahun termasuk seorang kanak-kanak itu dibuat di Kampung Batu 4, di sini jam 10 pagi tadi oleh sepasukan anggota Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah yang ternampak dua kenderaan terbabit yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf berkata, pemeriksaan dalam Hyundai Starex menemui 13 warga Myanmar manakala 11 lagi dalam Toyota Vellfire.

"Kesemua mereka tiada dokumen perjalanan yang sah dan memasuki negara ini menerusi laluan haram untuk bekerja.

"Semua 11 lelaki dan 12 wanita serta seorang kanak-kanak lelaki itu diambil di kawasan Kampung Wakaf Simen, Nibong dan akan dihantar ke Kepong, Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Zainuddin berkata, berdasarkan pengakuan awal yang dibuat, dua pemandu kenderaan yang berusia 40 dan 49 tahun itu mengaku menerima bayaran sebanyak RM1,500 untuk membawa semua PATI berkenaan daripada Kelantan ke Kepong.

Menurutnya lagi, dua kenderaan mewah itu juga disewa dan pihaknya sudah membuat sitaan untuk siasatan lanjut manakala empat telefon bimbit juga dirampas.

"Dua pemandu yang juga lelaki tempatan itu disiasat mengikut Seksyen 26J ATIPSOM 2007 manakala semua PATI itu pula di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Bagaimanapun dua daripada warga asing berkenaan positif COVID-19 dan diasingkan dalam lokap," katanya.

Berita Harian X