Ahad, 20 Februari 2022 | 7:25pm

Polis siasat kemungkinan ada remaja lumba motosikal

KOTA BHARU: Polis menyiasat nahas yang mengorbankan seorang wanita yang bayi lelakinya terkeluar daripada perut ada kaitan dengan aktiviti lumba motosikal sekumpulan remaja.

Dalam kejadian jam 7 malam kelmarin di Kampung Lumpur, Pasir Mas dekat sini, Nor Haliza Abdul Yazaib, 25, maut tercampak di dalam bendang sehingga bayi dikandungnya terkeluar daripada perut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah motosikal lain yang hilang kawalan.

Kemalangan itu juga menyebabkan seorang remaja, Muhamad Shahkim Mohd Zaki, 18, yang merempuh dua beranak itu maut ketika menerima rawatan di Hospital Pasir Mas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya meminta dua rakan remaja itu tampil untuk membantu siasatan.

"Mangsa masih belajar dan akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kita minta mana-mana saksi agar tampil untuk bantu siasatan terutama dua rakannya.

"Ketiga remaja yang menunggang motosikal secara berasingan itu dipercayai menunggang dengan laju sebelum sebuah daripadanya hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal wanita terbabit.

"Rempuhan kuat itu menyebabkan wanita terbabit melambung ke dalam bendang sebelum jatuh tertiarap menyebabkan bayi lelaki yang dikandungnya terkeluar melalui saluran peranakan manakala seorang lagi anaknya yang membonceng masih menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Shafien berkata, motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang remaja yang maut itu bukan miliknya atau keluarga sebaliknya disyaki dipinjam dari rakan.

Mengenai dakwaan tempat kejadian yang dikatakan lokasi lumba motosikal, Shafien berkata, menerusi pemantauan yang dijalankan pihaknya, lokasi itu bukanlah laluan perlumbaan sebaliknya jalan kampung.

Menurutnya lagi, kemungkinan besar sekumpulan remaja terbabit sengaja mengambil peluang menunggang motosikal dengan laju lebih-lebih lagi pada hari cuti sekolah.

"Dari segi pemantauan yang dibuat, laluan itu bukan tempat berlumba tapi penunggang motosikal mengambil peluang pada hari cuti kerana lumba (motosikal) tidak kira lokasi sesuai atau tidak.

"Saya sudah arahkan agar pemantauan dibuat di seluruh daerah terutama lokasi panas dikenal pasti tempat berlumba agar dapat kekang tragedi yang sama berulang dan fokus adalah di Kota Bharu," katanya.

Terdahulu, beliau hadir dalam majlis perasmian penutup Kejohanan Dart, Catur, Karom dan E-Sports Piala Ketua Polis Negara 2022 yang disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Zaini Jass, di dewan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am, di Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat (berkaca mata) bersama Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Bukit Aman, Datuk Zaini Jass (kiri) mencuba permainan E-Sports yang turut dipertandingkan dalam Kejohanan Dart, Catur, Karom dan E-Sports Piala Ketua Polis Negara 2022 di Dewan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am, di Pengkalan Chepa. - NSTP/Siti Rohana Idris
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat (berkaca mata) bersama Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Bukit Aman, Datuk Zaini Jass (kiri) mencuba permainan E-Sports yang turut dipertandingkan dalam Kejohanan Dart, Catur, Karom dan E-Sports Piala Ketua Polis Negara 2022 di Dewan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am, di Pengkalan Chepa. - NSTP/Siti Rohana Idris
Berita Harian X