Ahad, 20 Februari 2022 | 1:41pm
 Lapan pemancing berjaya diselamatkan selepas bot dinaiki karam dekat perairan Rompin lewat malam semalam. - Foto Ihsan APMM
Lapan pemancing berjaya diselamatkan selepas bot dinaiki karam dekat perairan Rompin lewat malam semalam. - Foto Ihsan APMM

Dua jam terapung di laut sebelum ditemui

MERSING: Lapan pemancing berdepan detik cemas selepas bot dinaiki karam dekat perairan Rompin, lewat malam tadi.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata punca kejadian dipercayai akibat kebocoran pada ekzos yang menyebabkan air masuk ke dalam bot.

Katanya, semua mangsa yang berusia 27 tahun hingga 56 tahun itu memakai jaket keselamatan dan berpaut pada bot sebelum berjaya ditemui.

"Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat kecemasan melalui talian MERS 999 daripada seorang daripada mangsa yang melaporkan bot pancing yang mereka naiki karam di kawasan beting berhampiran Pulau Seri Buat dan Pulau Tasu kira-kira jam 9.35 malam tadi.

 Lapan pemancing yang berjaya diselamatkan selepas bot dinaiki karam tiba di Jeti Awam Penyabong, Mersing . - Foto Ihsan APMM
Lapan pemancing yang berjaya diselamatkan selepas bot dinaiki karam tiba di Jeti Awam Penyabong, Mersing . - Foto Ihsan APMM

"Lapan mangsa lelaki yang juga rakyat tempatan memaklumkan mereka berpaut pada bot dan memakai jaket keselamatan sementara menanti bantuan tiba," katanya.

Nurul Hizam berkata, Operasi Carilamat diaktifkan pada jam 9.50 malam membabitkan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin bersama komuniti nelayan setempat.

"Kira-kira jam 11.20 malam, lapan mangsa berjaya diselamatkan oleh sebuah bot fiber yang melalui kawasan kejadian.

"Semua mangsa selamat tiba di Jeti Awam Penyabong pada jam 11.50 malam," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, MRSC Johor Bahru mengucapkan ribuan terima kasih di atas bantuan agensi dan komuniti nelayan setempat dalam Operasi Carilamat berkenaan.

Berita Harian X