Ahad, 20 Februari 2022 | 11:35am
Polis mengeluarkan saman terhadap beberapa penunggang motosikal menerusi Op Samseng Jalanan, Motosikal serta Pelbagai Kesalahan di sekitar ibu negara, selama tiga hari berakhir awal pagi tadi. - Foto ihsan JSPT Kuala Lumpur
Polis mengeluarkan saman terhadap beberapa penunggang motosikal menerusi Op Samseng Jalanan, Motosikal serta Pelbagai Kesalahan di sekitar ibu negara, selama tiga hari berakhir awal pagi tadi. - Foto ihsan JSPT Kuala Lumpur

Polis KL keluar 408 saman dalam 3 hari

KUALA LUMPUR: Polis mengeluarkan 408 saman atas pelbagai kesalahan dan menyita 21 motosikal kerana ekzos diubah suai dalam Op Samseng Jalanan, Motosikal serta Pelbagai Kesalahan di sekitar ibu negara, selama tiga hari berakhir awal pagi tadi.

Seramai 70 pegawai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur terbabit operasi itu yang diadakan di sekitar pusat bandar, Jalan Raja Laut (menghala Jalan Ipoh dan Chow Kit ), Jalan Loke Yew, Jalan Genting Klang, Jalan Temerloh, Jalan Titiwangsa, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata motosikal disita akan diambil tindakan dan diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), selain diarahkan mengubah ke struktur asal.

Beliau berkata, pihaknya juga menahan 11 lelaki berusia antara 26 hingga 60 tahun kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol dalam operasi sama.

"Selain itu, kita tahan dua lelaki berusia 30 hingga 40 tahun dan merampas dadah jenis heroin serta syabu, manakala empat lelaki berusia 16 hingga 20 tahun ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya.

Dadah yang dirampas menerusi Op Samseng Jalanan, Motosikal serta Pelbagai Kesalahan di sekitar ibu negara, selama tiga hari berakhir awal pagi tadi. - Foto ihsan JSPT Kuala Lumpur
Dadah yang dirampas menerusi Op Samseng Jalanan, Motosikal serta Pelbagai Kesalahan di sekitar ibu negara, selama tiga hari berakhir awal pagi tadi. - Foto ihsan JSPT Kuala Lumpur

"Penunggang itu melakukan aksi 'zig-zag', 'roket', 'superman' serta bersaing. Mereka bersama pemandu mabuk dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur, manakala individu ditahan atas kesalahan dadah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan IPD Cheras untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 64, 45(A) dan 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, selain Seksyen 12(2)(e) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 masing-masing kerana memiliki serta positif dadah.

Sarifudin berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999, Hotline JSPT Kuala Lumpur (03-20260267/69) atau mana-mana balai polis berhampiran.

Berita Harian X