Sabtu, 19 Februari 2022 | 3:16pm
Polis menyerbu sebuah premis di Taman Miharja disyaki terbabit kegiatan pelacuran, semalam. - Foto ihsan polis
Polis menyerbu sebuah premis di Taman Miharja disyaki terbabit kegiatan pelacuran, semalam. - Foto ihsan polis

Polis tahan 7 wanita asing disyaki terbabit pelacuran

KUALA LUMPUR: Polis menahan sembilan individu, termasuk tujuh wanita warga asing disyaki terbabit kegiatan pelacuran, di sebuah premis di Taman Miharja, Cheras, semalam.

Tangkapan dalam serbuan kira-kira jam 8 malam oleh sepasukan anggota Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur itu turut meliputi dua lelaki disyaki penjaga premis terbabit.

Ketua JSJ Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata pihaknya juga merampas sebuah telefon bimbit, 19 kondom, empat tuala, satu jadual kerja dan wang tunai RM90 bagi membantu siasatan.

"Kita memeriksa dua lelaki, selain menahan sembilan individu termasuk penjaga premis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 372B dan 373 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu dalam kes berasingan, Habibi berkata, pihaknya mengeluarkan kompaun berjumlah RM57,000 terhadap pengunjung dan pemilik sebuah pusat hiburan di Jalan Metro Pudu, di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 11.30 malam itu, beliau berkata, D7 JSJ Kuala Lumpur mengenakan kompaun RM1,000 seorang terhadap 56 pengunjung dan seorang pemilik premis terbabit.

"Polis juga merampas resit perniagaan, peralatan muzik dan botol minuman keras bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan (AHWP), Seksyen 76 Akta Eksais serta Peraturan 17 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021," katanya.

Berita Harian X