Sabtu, 19 Februari 2022 | 2:35pm
Polis mengeluarkan kompaun terhadap pengunjung dan pemilik pusat hiburan melalui Ops Khas Pematuhan SOP COVID-19, semalam. - Foto ihsan polis
Polis mengeluarkan kompaun terhadap pengunjung dan pemilik pusat hiburan melalui Ops Khas Pematuhan SOP COVID-19, semalam. - Foto ihsan polis

Pengunjung, pemilik 3 pusat hiburan dikompaun RM90,000

KUALA LUMPUR: Polis mengeluarkan kompaun berjumlah RM90,000 terhadap 87 pengunjung dan tiga pemilik pusat hiburan di Kepong, Chow Kit serta Bukit Jalil, lewat malam tadi.

Semua individu berkenaan masing-masing dikompaun sebanyak RM1,000 melalui Ops Khas Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob, berkata tindakan kompaun itu diambil mengikut Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Pelan Pemulihan Negara (PPN) 4 2021, kerana melakukan kegiatan terlarang di dalam pub serta kelab malam.

"Berdasarkan statistik dari 1 Januari tahun ini hingga kini, JPJKK Kuala Lumpur mengeluarkan kompaun dengan nilai keseluruhan RM370,000 ke atas pemilik dan pengunjung pusat hiburan.

"Kompaun bernilai RM80,000 pula dikeluarkan Pasukan Pematuhan SOP COVID-19 JPJKK Kuala Lumpur ke atas orang ramai yang gagal mematuhi SOP mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988 (Akta 342)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azman sekali gus menasihati orang ramai supaya mematuhi SOP ditetapkan bagi mengelakkan jangkitan COVID-19 yang masih menular dalam masyarakat.

"Operasi akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam usaha membantu kerajaan mengawal penularan wabak itu, demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat bersama," katanya.

Berita Harian X