Sabtu, 19 Februari 2022 | 10:59am
PATI dan individu disyaki tekong yang ditahan di Kampung Lubok Kawah, kelmarin. - Foto ihsan polis
PATI dan individu disyaki tekong yang ditahan di Kampung Lubok Kawah, kelmarin. - Foto ihsan polis

Polis berkas 19 PATI, 2 disyaki tekong

PASIR MAS: Seramai 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dan dua disyaki tekong berjaya ditahan polis di Kampung Lubok Kawah, di sini, kelmarin.

Tangkapan itu membabitkan tekong berusia 37 dan 42 tahun, manakala PATI terdiri daripada sembilan wanita serta 10 lelaki berumur antara 20 hingga 39 tahun.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata terdahulu anggota bertugas membuat rondaan sebelum terserempak dengan sebuah van persiaran Era Komuter dan kereta Audi A4 dalam keadaan mencurigakan, kira-kira jam 5 pagi.

Katanya, anggota kemudian mendekati mereka tetapi pemandu van dan kereta terbabit memecut kenderaan untuk melarikan diri.

Bagaimanapun, beliau berkata, van berkenaan berjaya ditahan di tepi jalan, manakala pemandu Audi A4 dapat melarikan diri.

"Hasil pemeriksaan ke atas van itu mendapati ada seorang pemandu berasal dari Padang Serai, Kedah, disyaki tekong cuba menyeludup PATI terbabit ke lokasi yang belum dapat dipastikan.

"Kesemua warga Myanmar berada di dalam van itu pula didapati gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan disyaki masuk ke Malaysia melalui cara menyalahi undang-undang negara.

"Van itu kemudian dirampas, manakala lelaki disyaki tekong dan semua PATI terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, hasil soal siasat terhadap tahanan, polis kemudian memberkas seorang lelaki warga Thailand berusia 42 tahun di Kampung Lubok Kawah yang disyaki dalang penyeludupan PATI berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 51 (3) Akta Imigresen (Pindaan 2002).

Dalam pada itu, katanya, polis meneruskan usaha memburu pemandu Audi A4 yang memboloskan diri selepas kenderaan terbabit dikesan di Kampung Nibong, Tok Uban, di sini, kira-kira jam 4.30 petang hari sama.

"Pemandu dipercayai lelaki tempatan berusia 20 tahun itu bagaimanapun merempuh kenderaan pihak berkuasa, menyebabkan dua das tembakan dilepaskan supaya suspek memberhentikan kenderaan.

"Kereta itu terus dikejar anggota sebelum ditemui berada di hadapan sebuah rumah di Kampung Gelam, Tok Uban, namun suspek telah melarikan diri dan meninggalkan beg yang mengandungi kad pengenalan diri," katanya.

Berita Harian X