Jumaat, 18 Februari 2022 | 9:33pm
Pengguna lebuh raya PLUS terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sejauh 5 kilometer hari ini berikutan sebuah lori minyak masak terpakai terbabas di Kilometer 278.8 arah utara dari Bandar Ainsdale ke Nilai, Negeri Sembilan. - Foto PDRM
Pengguna lebuh raya PLUS terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sejauh 5 kilometer hari ini berikutan sebuah lori minyak masak terpakai terbabas di Kilometer 278.8 arah utara dari Bandar Ainsdale ke Nilai, Negeri Sembilan. - Foto PDRM

Lori terbabas, lebuh raya PLUS sesak dari Bandar Ainsdale ke Nilai

NILAI: Pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sejauh lima kilometer hari ini berikutan sebuah lori minyak masak terpakai terbabas di Kilometer 278.8 arah utara dari Bandar Ainsdale ke Nilai.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman, berkata kemalangan pada jam 6.45 petang itu menyebabkan muatan minyak masak terpakai di dalam tujuh tong mengalir hingga ke lorong keempat lebuh raya lalu menyebabkan kesesakan.

Beliau berkata, siasatan awal mempercayai lori Hino berwarna putih itu terbabas akibat tayar belakang kenderaan itu pecah.

"Kejadian berlaku di lorong kedua dari kanan, pasukan bomba dan penyelamat sedang membersihkan laluan.

"Pemandu lori itu dibawa orang awam ke hospital terdekat untuk rawatan manakala kelindannya, seorang lelaki berusia 39 tahun hanya cedera ringan," katanya dalam kenyataan.

Mohd Fazley berkata, kemalangan itu disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.– BERNAMA

Berita Harian X