Jumaat, 18 Februari 2022 | 3:51pm

6 ditahan, dadah bernilai RM978,500 dirampas

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang membongkar sindiket pengedaran dadah menerusi lima serbuan berasingan di dua daerah negeri ini.

Serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang membawa kepada penahanan enam individu termasuk seorang wanita kerana disyaki terbabit dalam sindiket berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata serbuan pertama di tiga lokasi sekitar daerah ini pada Rabu dan Khamis, menemukan sebanyak 90,000 pil kuda, 27,000 pil psikotropik serta syabu seberat 1.9 kilogram yang dianggarkan bernilai RM978,500.

Susulan itu polis menahan dua lelaki dan perempuan warga asing berusia 34 hingga 47 tahun di kediaman mereka. Turut dirampas dalam serbuan itu ialah barang kemas, wang tunai serta tiga kenderaan bernilai RM82,550.

"Ujian saringan air kencing semua suspek didapati negatif dan tiada rekod lampau membabitkan jenayah atau dadah," katanya di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Shuhaily berkata siasatan mendapati pasangan kekasih dan rakannya itu dipercayai menjual pil psikotropik berkenaan pada harga RM1.

Mereka menyasarkan jualan kepada pekerja di tapak pembinaan yang didakwa boleh mengatasi masalah sukar tidur dan kemurungan.

Dalam serbuan berasingan, Mohd Shuhaily berkata, polis juga menumpaskan sindiket pengedaran ganja yang didalangi dua buruh binaan dan seorang petani di daerah Seberang Perai Tengah. Siasatan mendapati sindiket itu aktif mengedar dadah sejak Jun tahun lalu dan semua mereka didapati positif ganja.

Semua suspek berusia antara 39 hingga 53 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan yang membawa kepada penemuan tiga ketulan mampat ganja bernilai RM2,375.

"Menarik dalam serbuan ini, apabila pihak polis menemukan wang tunai RM181,000 pada serbuan kedua iaitu membabitkan sebuah unit kediaman.

"Keseluruhan rampasan dadah dan nilai sitaan harta dalam kedua-dua kes berkenaan ialah lebih RM1.2 juta. Semua suspek direman hingga 23 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Shuhaily (empat kiri) menunjukkan rampasan dadah jenis Yaba @ pil kuda (90,000) biji, pil Psikotropik (27,000) biji, syabu 1,930 gram dan ganja 950 gram bernilai lebih RM900,000 pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini. - Foto NSTP/Mikail Ong
Shuhaily (empat kiri) menunjukkan rampasan dadah jenis Yaba @ pil kuda (90,000) biji, pil Psikotropik (27,000) biji, syabu 1,930 gram dan ganja 950 gram bernilai lebih RM900,000 pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini. - Foto NSTP/Mikail Ong
Berita Harian X