Jumaat, 18 Februari 2022 | 1:49pm

Suami isteri antara ditahan terbabit sindiket edar dadah

v

[email protected]

SHAH ALAM: Polis Selangor menahan enam individu termasuk pasangan suami isteri kerana dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah di sekitar Kuala Langat dan Klang Selatan menerusi beberapa serbuan pada 14 Februari lalu.

Menerusi serbuan berkenaan, polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM521,263.02.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah, berkata kes pertama membabitkan tangkapan empat lelaki termasuk seorang lelaki warganegara Indonesia menerusi serbuan di sebuah pangsapuri di Bandar Saujana Putra, Jenjarom.

"Suspek pertama ditahan di kawasan tempat letak kenderaan pangsapuri itu sekitar jam 2 petang. Lelaki berkenaan kemudian membawa polis ke sebuah unit rumah pangsapuri itu yang mana dua lagi suspek ditangkap.

"Hasil pemeriksaan di rumah itu, polis menemui lapan paket plastik berisi dadah disyaki heroin seberat 3,616 gram (g) serta dua paket plastik berisi pil dipercayai ekstasi seberat 5,000g. Turut dijumpai adalah bahan serta peralatan untuk memproses dadah.

"Susulan tangkapan itu, polis berjaya menangkap seorang lagi ahli sindiket berkenaan di tepi jalan di kawasan Banting menjadikan empat lelaki ditahan bagi kes berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapat keempat-empat suspek berkenaan adalah penganggur dan tiga daripada mempunyai rekod jenayah serta dadah manakala ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka negatif dadah.

Katanya, polis percaya rumah berkenaan baru disewa sindiket berkenaan dan peralatan untuk memproses dadah hanya di simpan di rumah terbabit.

Sementara itu, bagi kes kedua, Ahmad Jefferi berkata, sepasang suami isteri ditahan di tepi jalan berdekatan sebuah pasar raya di Bukit Tinggi, Klang pada jam 9.10 malam yang mana polis menemui empat paket plastik berisi dadah disyaki

syabu seberat 51.5 gram dan dua foil aluminium berisi 10 biji pil disyaki erimin 5.

Katanya, susulan itu, suspek membawa pasukan serbuan ke sebuah lagi kereta di sebuah pangsapuri di Bandar Bestari, Klang dan menemui 12 paket plastik berisi dadah disyaki heroin seberat 5,179.84 gram; satu plastik berisi dadah disyaki syabu seberat 1,080.41 gram dan 250 foil aluminium berisi 7,500 biji disyaki pil erimin 5.

"Suspek lelaki adalah kontraktor bagi syarikat pembekalan tenaga dan mempunyai beberapa rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah. Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine manakala isterinya yang juga suri rumah negatif," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati kedua-dua kes berkenaan adalah kes yang berbeza serta tidak berkaitan.

"Secara keseluruhan, nilai rampasan dadah bagi kedua-dua kes ini adalah berjumlah RM521,263.02 manakala nilai sitaan pula berjumlah RM80,350 membabitkan dua kereta dan barangan kemas," katanya.

Ahmad Jefferi Abdullah (dua dari kanan) pada sidang media kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis heroin, syabu, pil ektasi dan erimin 5 sekitar Kuala Langat dan Klang Selatan di Ibu Pejabat Polis Kotinjen Selangor, Shah Alam. - Foto NSTP/Faiz Anuar
Ahmad Jefferi Abdullah (dua dari kanan) pada sidang media kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis heroin, syabu, pil ektasi dan erimin 5 sekitar Kuala Langat dan Klang Selatan di Ibu Pejabat Polis Kotinjen Selangor, Shah Alam. - Foto NSTP/Faiz Anuar
Berita Harian X