Jumaat, 18 Februari 2022 | 11:45am

Bekas pengarah AADK dituduh terima RM5,900

MELAKA: Bekas pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas empat pertuduhan menerima suapan bernilai keseluruhan RM5,900 daripada seorang kontraktor bagi tender penyelenggaraan dan perbekalan.

Tertuduh, Mohamad Yusof Kameh, 55, yang kini Timbalan Pengarah AADK Pulau Pinang, didakwa melakukan kesalahan itu antara 2017 hingga 2019 ketika berkhidmat sebagai pengarah agensi sama di negeri ini.

Dia yang tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sejurus dibacakan semua pertuduhan itu di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Bagi pertuduhan pertama, Mohamad Yusof didakwa menerima suapan RM1,500 daripada Budyarif Rahmat sebagai upah memilih Syarikat Rahim Maarop Enterprise bagi kerja menyelenggara lokap AADK Jasin, Melaka.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya pada 24 November 2017 di Pejabat AADK Negeri Melaka, Kompleks Kementerian Dalam Negeri.

Bagi pertuduhan kedua hingga keempat dia didakwa mengulangi kesalahan sama di tempat sama iaitu menerima suapan daripada individu sama berjumlah keseluruhan RM4,400.

Wang itu sebagai upah kerana memilih Syarikat Mutiara Event Management & Supplies serta Syarikat Rantaian Rezeki Enterprise, masing-masing bagi perkhidmatan mencetak dan membekal beg kertas untuk AADK negeri dan kerja menyediakan alatan, kelengkapan dan makanan bagi Program Kembara Perdana Bulan Anti Dadah serta bagi kerja menyelenggara genset di AADK Jasin.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan pada 21 Jun 2018 serta 15 dan 19 Mac 2019.

Semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Dalam prosiding sama, tertuduh turut didakwa dan tidak mengaku bersalah atas empat pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, iaitu menerima untuk diri sendiri wang tunai RM5,900 daripada individu sama, tanpa balasan.

Timbalan Pendakwa Raya Irwanshah Abdul Samat menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin sementara perbicaraan selesai serta syarat tambahan pasport tertuduh diserah kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM Sungai Petani, Kedah sebulan sekali.

Hakim Elesabet Paya Wan membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan kes untuk sebutan semula kes pada 16 Mac depan untuk lantikan peguam.

Tertuduh, Mohamad Yusof Kameh (kiri), diiringi pegawai SPRM ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Ayer Keroh. - Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.
Tertuduh, Mohamad Yusof Kameh (kiri), diiringi pegawai SPRM ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Ayer Keroh. - Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.
Berita Harian X