Jumaat, 18 Februari 2022 | 10:35am
Datin Seri Rosmah Mansor. - FOTO NSTP/AIZUDDIN SAAD
Datin Seri Rosmah Mansor. - FOTO NSTP/AIZUDDIN SAAD

Prosiding kes pengubahan wang haram babitkan Rosmah ditangguh, peguam positif COVID-19

KUALA LUMPUR: Prosiding permohonan Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes pengubahan wang haram dihadapinya yang sepatutnya didengar hari ini, ditangguhkan selepas seorang daripada peguam bela didapati positif COVID-19.

Mahkamah tinggi hari ini dijadual mendengar hujahan peguam Rosmah yang membantah Datuk Seri Gopal Sri Ram, daripada mengemukakan sendiri hujahannya terhadap permohonan isteri bekas perdana menteri itu, untuk menggugurkan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan daripada mengendalikan kes pengubahan wang haram berkenaan.

Peguam bela Rosmah, Datuk Geethan Ram Vincent, memaklumkan kepada mahkamah tinggi melalui e-mel dan e-filing yang dialamatkan kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi selepas prosiding petang semalam, bahawa salah seorang peguam mewakili anak guamnya itu yang turut hadir prosiding berkenaan didapati positif COVID-19.

E-mel sama turut menyatakan selepas pasukan pembelaan meninggalkan mahkamah jam 2.48 petang semalam, peguam terbabit menerima laporan patologi yang mengesahkan beliau positif COVID-19. Laporan ujian patologi terbabit turut disertakan dalam e-mel terbabit.

"Memandangkan keadaan itu, kami memohon arahan daripada mahkamah mengenai pendengaran permohonan esok (hari ini) kerana semua pihak yang berada di mahkamah sebentar tadi (semalam) kini adalah kontak rapat," kata Geethan dalam e-mel itu.

Sementara itu, Geethan yang mengemukakan salinan e-mel itu kepada media, ketika dihubungi berkata mahkamah tinggi belum menetapkan tarikh pendengaran baharu.

Pada 4 Oktober 2018, Rosmah, 69, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 12 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli di Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan seperti mana yang diperuntukkan Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Berita Harian X