Jumaat, 18 Februari 2022 | 12:05am
Lelaki yang ditahan polis selepas melakukan aksi menunggang motosikal secara berbahaya bersama seorang kanak-kanak perempuan di Taman Impian Emas Skudai, Johor. - FOTO IHSAN POLIS
Lelaki yang ditahan polis selepas melakukan aksi menunggang motosikal secara berbahaya bersama seorang kanak-kanak perempuan di Taman Impian Emas Skudai, Johor. - FOTO IHSAN POLIS

Undang netizen, polis yang datang

JOHOR BAHRU: Aksi menunggang motosikal secara berbahaya membawa kanak-kanak dengan harapan mendapat perhatian di media sosial menyebabkan seorang lelaki ditahan polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid, berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan video tular berkenaan pada jam 3 petang hari ini.

Dalam klip video berdurasi 36 saat itu, seorang lelaki didapati menunggang motosikal jenis Honda EX5 secara berbahaya.

Katanya, lelaki itu berbuat demikian bersama seorang kanak-kanak perempuan yang duduk di hadapan.

"Lelaki warga tempatan berusia 20-an itu melakukan aksi wheelie dengan mengangkat tayar hadapan motosikal di Jalan Bukit Impian 1, Taman Impian Emas, Skudai di sini.

"Perbuatannya itu semata-mata bagi meraih perhatian netizen di laman sosial," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Rupiah berkata, aksi berkenaan dirakam sendiri oleh suspek menggunakan telefon bimbitnya menerusi bantuan rakan sebelum dimuat naik ke akaun Facebook milik 'Hafiz Sim' pada 7 malam, 15 Februari lalu.

Katanya, penunggang motosikal berkenaan ditahan bagi membantu siasatan manakala barang kes dirampas.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.

Bagi sabitan kali kedua atau seterusnya, penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih daripada RM20,000.

"Tiga saman dikeluarkan iaitu nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi, cukai jalan tamat tempoh dan tidak memakai topi keledar," katanya.

Berita Harian X