Khamis, 17 Februari 2022 | 3:07pm
Keadaan kenderaan suspek yang terbalik selepas dikejar mangsa susulan kes samun di di sebuah stesen minyak di Lukut semalam. FOTO NSTP/ MOHD KHIDIR ZAKARIA
Keadaan kenderaan suspek yang terbalik selepas dikejar mangsa susulan kes samun di di sebuah stesen minyak di Lukut semalam. FOTO NSTP/ MOHD KHIDIR ZAKARIA

Nilai barang kemas dalam beg dilarikan penyamun dianggar RM500,000

PORT DICKSON: Satu daripada tiga beg berisi barangan kemas yang dilarikan penjenayah dalam kejadian samun membabitkan lima lelaki bersenjatakan parang di sebuah stesen minyak di Lukut, dekat sini, semalam masih hilang.

Justeru, polis kini berusaha mengesan beg terbabit yang mengandungi barangan kemas dengan nilai anggaran mencecah RM500,000.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata baki dua lagi beg ditemui semula selepas kereta jenis Honda CRV dinaiki suspek terbalik ketika dikejr mangsa dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu.

Berdasarkan siasatan awal, katanya polis menolak andaian kes samun itu membabitkan pembabitan peranan 'orang dalam' walaupun ada yang mengatakan seolah-olah kejadian itu dirancang memandangkan penjenayah seperti sudah tahu mangsa membawa barangan berharga.

"Polis percaya kumpulan suspek mengekori mangsa sejak awal sehingga berhenti di stesen minyak sebelum kejadian samun berlaku," katanya ketika dihubungi.

Aidi Sham berkata, usaha mengesan semua suspek giat dilakukan dan orang awam atau saksi yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.

"Maklumat boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat, Inspektor Fatiha Nur Hamidus di talian 013-6217365 atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di talian 06-6462999," katanya.

Dalam kejadian semalam, seorang pemilik kedai emas berusia 50 tahun disamun lima lelaki bersenjatakan parang di sebuah stesen minyak di Lukut, ketika mangsa berhenti untuk mengisi minyak.

Lima suspek meluru keluar daripada dua kenderaan sebelum memecahkan cermin kereta mangsa dan melarikan tiga beg barangan kemas, telefon bimbit, wang tunai dan dokumen peribadi mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 kanun Keseksaan.

Berita Harian X