Khamis, 17 Februari 2022 | 2:13pm
Keadaan bot nelayan di Pulau Aman yang terbalik dan rosak dipukul ribut awal pagi tadi. FOTO NSTP/ Ihsan Phee Boon Poh
Keadaan bot nelayan di Pulau Aman yang terbalik dan rosak dipukul ribut awal pagi tadi. FOTO NSTP/ Ihsan Phee Boon Poh
Keadaan bot nelayan di Pulau Aman yang terbalik dan rosak dipukul ribut awal pagi tadi. FOTO NSTP/ Ihsan Phee Boon Poh
Keadaan bot nelayan di Pulau Aman yang terbalik dan rosak dipukul ribut awal pagi tadi. FOTO NSTP/ Ihsan Phee Boon Poh

Rumah, bot nelayan rosak Pulau Aman dilanda ribut

BATU KAWAN: Nelayan sekitar Pulau Aman, di sini kerugian mencecah ribuan ringgit apabila peralatan menangkap ikan termasuk bot milik mereka rosak dan tenggelam dipukul ribut awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 1 pagi itu turut menggegarkan kediaman penduduk, sehingga menyebabkan ada yang mengalami kerosakan.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Aman, Saibi Abd Majid, berkata ketika kejadian Pulau Aman memang mengalami fenomena air pasang disebabkan hujan, namun rata-rata penduduk tidak menyangka ia hadir bersekali dengan ribut.

"Ketika kejadian kebanyakan penduduk sudah tidur dan ribut yang melanda menggegarkan rumah sehingga mengejutkan mereka.

"Penduduk hanya menyedari ribut berlaku sebaik keluar daripada rumah dan melihat air laut dilihat bergelora dengan angin kencang melanda," katanya ketika dihubungi.

Saibi berkata, fenomena air pasang memang kerap berlaku di Pulau Aman, namun kejadian awal pagi tadi sedikit luar biasa kerana disusuli dengan ribut.

Ditanya mengenai kerosakan dialami, katanya selain beberapa rumah penduduk rosak, nelayan juga terpaksa menanggung kerugian apabila bot dan peralatan menangkap ikan terkesan akibat ribut.

"Kami memang sudah biasa dengan keadaan ini (air pasang), namun kejadian awal pagi tadi sedikit luar biasa. Mujurlah tidak ada apa-apa yang berlaku dan penduduk selamat," katanya.

Difahamkan, bot milik nelayan bukan hanya rosak dan terbalik dipukul ribut, malah ada sebahagiannya dihanyutkan ombak.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz, berkata pihaknya sudah menghubungi ketua unit nelayan Sungai Batu dan Teluk Kumbar serta MPKK Gertak Sanggul bagi membuat bancian kerosakan dan jumlah mereka yang terbabit.

"Pihak saya cuba membantu meringankan bebanan mereka sedaya upaya," katanya.

Berita Harian X