Selasa, 15 Februari 2022 | 8:15pm

'Arwah banyak bantu keluarga, boleh diharap'

KAMPAR: "Sebagai anak sulung, arwah memang banyak bantu saya, boleh diharap untuk jaga dua adiknya," kata Nor Hadayah Imam Subawa, 45, ibu Muhammad Fikri Adam Azmi, 20, yang lemas bersama seorang rakan di Air Terjun Batu Berangkai, berdekatan sebuah kampung Orang Asli, di sini, pagi tadi.

Kata ibu tunggal itu, dua adik mangsa, termasuk seorang berusia 17 tahun yang mengalami pertumbuhan terbantut.

Nor Hadayah berkata, selepas menamatkan pengajian peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), arwah juga banyak membantu menyara keluarga dengan cara menolongnya membuat kuih kapit di rumah sebelum dihantar ke kilang.

"Apa yang saya suruh buat, dia sentiasa sudi menolong. Memang saya bergantung harap padannya untuk tengok-tengokkan adik-adiknya, dia juga periang dan suka berkawan," katanya kepada pemberita sewaktu ditemui di Unit Forensik Hospital Kampar, di sini petang tadi.

Menurutnya lagi, sebelum keluar rumah kira-kira jam 7 pagi tadi, anak sulung daripada empat beradik itu sempat meminta izin daripadanya selain bersalaman.

"Dari segi perubahan tingkah lakunya, tidak pula saya perasan. Cuma selalunya jika dia minta izin untuk keluar, destinasi dituju sama ada Shah Alam atau Kuala Lumpur. Namun hari ini ke Perak walaupun memang dia ada beritahu hendak mandi-manda di air terjun Lata Kinjang di Tapah. Tambahan pula hari ini bukan hujung minggu," katanya.

Sementara itu, abang kepada seorang lagi mangsa, Muhammad Amirul Hafidz Ma'asor, 20, juga pelik apabila diberitahu oleh adik bongsu daripada lima beradik berkenaan yang dia mahu bersiar-siar di Perak hari ini.

Kata Mohamad Khairul Nizam, 34, dia menganggap ia sebagai agak ganjil kerana selalunya orang ramai ke tempat rekreasi seperti itu pada cuti hujung minggu.

"Memang arwah cakap nak mandi-manda di Perak, cuma waktunya agak ganjil kerana selalunya orang akan ke tempat sebegitu pada hujung minggu. Saya juga terkejut apabila diberitahu semasa kejadian, arwah adik berusaha menyelamatkan rakannya (Muhammad Fikri Adam) walaupun setahu saya, dia tidak pandai berenang. Kami reda dengan ketentuan Allah ini," katanya.

Jenazah Muhammad Fikri Adam dijangka dikebumikan malam ini di tanah perkuburan Islam Kampung Teluk Rhu, Sabak Bernam, Selangor, manakala jenazah Muhammad Amirul Hafidz di Kampung Parit Baru Baroh, Sungai Ayer Tawar, Sabak Bernam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud, berkata siasatan awal di tempat kejadian mendapati seorang mangsa pada mulanya terkapai-kapai hampir lemas sebelum seorang lagi mangsa cuba menyelamatkannya, namun gagal.

Beliau berkata, situasi panik menyebabkan kedua-dua mangsa itu akhirnya lemas dalam kejadian kira0kira jam 10 pagi itu.

"Hanya dua mangsa itu bersama dua lagi rakan mereka berada di tempat kejadian ketika itu. Mereka menaiki motosikal dari Sabak Bernam untuk ke lokasi terbabit," katanya.

Nor Hadayah Imam Subawa, 45, (kiri) melihat jenazah Muhammad Fikri Adam Azmi, 20, diangkat untuk dimasukkan ke dalam van jenazah di Unit Forensik Hospital Kampar, petang tadi. - NSTP/MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Nor Hadayah Imam Subawa, 45, (kiri) melihat jenazah Muhammad Fikri Adam Azmi, 20, diangkat untuk dimasukkan ke dalam van jenazah di Unit Forensik Hospital Kampar, petang tadi. - NSTP/MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Berita Harian X