Selasa, 15 Februari 2022 | 6:18pm
Allahyarham Muhammad Amirul Hafidz Ma'asor yang lemas ketika mandi-manda di kawasan rekreasi Air Terjun Batu Berangkai, dekat perkampungan Orang Asli di Kampar. NSTP/Ihsan Pembaca
Allahyarham Muhammad Amirul Hafidz Ma'asor yang lemas ketika mandi-manda di kawasan rekreasi Air Terjun Batu Berangkai, dekat perkampungan Orang Asli di Kampar. NSTP/Ihsan Pembaca

Tragedi 2 sahabat lemas: Kemas rumah petanda pergi selamanya

SABAK BERNAM: "Semalam, Muhammad Amirul Hafidz ada mengemas rumah dan perbuatannya itu menimbulkan tanda tanya kerana sebelum ini dia hanya endah tak endah apabila saya minta tolong," kata Siti Suzelawati Ma'asor, 38.

Siti Suzelawati adalah kakak sulung kepada Allahyarham Muhammad Amirul Hafidz, 20, yang ditemukan lemas di kawasan rekreasi Air Terjun Batu Berangkai, dekat perkampungan Orang Asli di Kampar, Perak hari ini.

Turut terkorban adalah sahabatnya, Allahyarham Muhammad Fikri Adam Azmi, 20.

Kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa bersama dua lagi rakan mereka melakukan aktiviti berkelah di air terjun berkenaan sebelum kedua-duanya lemas ketika mandi-manda.

Bercerita lanjut, Siti Suzelawati berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu berkelakuan pelik apabila bersungguh-sungguh mengemas rumah ibu mereka (Normah Sharip, 59) seolah-olah ingin menerima 'tetamu'.

"Tidak disangka bukan sahaja tetamu hadir ke rumah, malah kami turut menyambut kepulangan jenazah arwah buat kali terakhir," katanya sambil menahan sebak ketika ditemui di Jalan Pekan Parit Baru, Sungai Air Tawar, di sini, hari ini.

Dia berkata, Allahyarham juga sempat meminta maaf kepada Normah sebelum bertolak ke Perak.

"Ibu memaklumkan arwah sempat memeluk dan menciumnya sambil memohon maaf serta memohon supaya segala dosanya diampunkan.

"Walaupun sedih dan sukar mempercayai arwah kembali ke pangkuan Ilahi, kami sekeluarga reda dan berdoa agar rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman," katanya.

Siti Suzelawati berkata, Allahyarham disifatkan seorang yang mendengar kata dan mempunyai peribadi baik menyebabkan pemergiannya amat dirasai.

"Saya menerima berita pemergian arwah daripada adik perempuan pada jam 12.30 tengah hari ketika bersiap untuk mengajar di sebuah sekolah rendah agama di Bagan Nakhoda Omar (BNO).

"Seluruh jiwa saya terkejut dengan perkhabaran yang tidak disangka ini. Untuk itu, saya hanya berdoa supaya segala urusan dipermudahkan oleh Allah SWT," katanya.

Katanya, jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Baru Baroh sebaik selesai urusan bedah siasat.

Berita Harian X