Selasa, 15 Februari 2022 | 1:12pm
Anggota bomba membawa naik mayat seorang daripada dua mangsa lemas di kawasan rekreasi Air Terjun Batu Berangkai, hari ini. - Foto JBPM Perak
Anggota bomba membawa naik mayat seorang daripada dua mangsa lemas di kawasan rekreasi Air Terjun Batu Berangkai, hari ini. - Foto JBPM Perak

Dua sahabat lemas bersama di Air Terjun Batu Berangkai

KAMPAR: Keseronokan empat sekawan berkelah sambil mandi-manda di kawasan rekreasi Air Terjun Batu Berangkai dekat perkampungan Orang Asli di sini, hari ini bertukar tragedi apabila dua daripadanya lemas.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mangsa lemas dikenali sebagai Muhammad Fikri Adam Azmi dan Muhammad Amirul Hafidz Ma'asor, masing-masing berusia 20 tahun.

Beliau berkata, insiden berlaku ketika dua mangsa lelaki berkenaan bersama dua lagi rakan mereka melakukan aktiviti berkelah di air terjun berkenaan.

"Dua mangsa berkenaan lemas ketika mandi-manda di situ. Seorang daripadanya berjaya dibawa naik oleh orang awam.

"Manakala seorang lagi mangsa ditemui oleh anggota bomba pada kedalaman tiga meter kira-kira jam 11.22 pagi tadi," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital yang hadir ke tempat kejadian, sebelum mayat kedua-dunya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima jam 10.34 pagi tadi sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar dikejarkan ke lokasi bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Operasi berakhir jam 11.33 pagi,"katanya.

Berita Harian X