Selasa, 15 Februari 2022 | 10:14am
Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (kanan) dan Datuk Lokman Noor Adam.
Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (kanan) dan Datuk Lokman Noor Adam.

Mohd Na'im mohon penghakiman ingkar dikenakan terhadap Lokman

KUALA LUMPUR: Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, memohon mahkamah tinggi mengenakan perintah penghakiman ingkar terhadap bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, kerana gagal memfailkan pernyataan pembelaan terhadap kes saman fitnah dikemukakannya bulan lalu.

Mohd Na'im memfailkan saman itu kerana mendakwa difitnah berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap beberapa wanita, termasuk seorang wanita bergelar 'Datin'.

Mohd Na'im selaku plaintif memfailkan permohonan perintah penghakiman ingkar itu semalam melalui firma guaman Akberdin & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, selepas Lokman gagal memasukkan pernyataan pembelaan terhadap tuntutan samannya mengikut tempoh yang ditetapkan.

Perkara itu disahkan oleh peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Mohd Na'im.

Mohd Na'im memfailkan saman itu pada 17 Januari lalu, dan melalui pernyataan tuntutan, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) itu mendakwa defendan memfitnahnya dengan membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung dalam Facebook 'Lokman Noor Adam Official' pada 10 dan 13 Januari lalu.

Plaintif mendakwa, Lokman turut memuat naik siaran langsung itu di YouTube masing-masing pada 10 dan 14 Januari lalu, selain memuat naik tiga hantaran fitnah terhadap beliau dalam akaun Facebook defendan pada 11 dan 13 Januari.

Mohd Na'im mendakwa, kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya beliau seorang penunggang agama, gagal menjadi pemimpin yang berkredibiliti dengan akhlak yang terpuji dan dihormati serta memberi teladan yang baik kepada masyarakat, serta mencemarkan imej dan institusi Jabatan Kehakiman Syariah.

Menurut plaintif, satu laporan polis dibuat pada 12 Disember tahun lalu bagi menafikan dakwaan serta tuduhan palsu seorang wanita bergelar Datin terhadapnya, dan beliau juga sudah membuat laporan polis terhadap Lokman supaya pihak polis membuat siasatan berhubung tindakan defendan.

Plaintif seterusnya mendakwa, kenyataan fitnah itu menjejaskan reputasi, merosakkan martabat, mencalarkan imej, menjatuhkan maruah dan merendahkan statusnya di mata masyarakat umum.

Oleh itu, plaintif memohon suatu injunksi supaya defendan memadam video serta hantaran terbabit, selain suatu injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan semula hantaran itu, serta permohonan maaf daripada defendan yang dimuat naik dalam media sosial.

Beliau turut menuntut ganti rugi am yang akan ditaksir oleh mahkamah, ganti rugi teladan, teruk dan punitif masing-masing berjumlah RM10 juta, faedah atas jumlah penghakiman sebanyak lima peratus setahun yang dikira daripada tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Berita Harian X