Isnin, 14 Februari 2022 | 6:22pm
Mohd Hashim (tengah) bersama Timbalan Pengarah (Operasi) APMM Zon Maritim Kuala Perlis, Leftenan Maritim Mohd Fazmin Shah Md Rafee Shah (kiri) dan Timbalan Pengarah (Siasatan) APMM Zon Maritim Kuala Perlis, Leftenan Maritim Mohamad Zaimi Yakub menunjukkan sebahagian daripada daun ketum yang dirampas ketika cuba diseludup ke Thailand menggunakan bot di perairan Kurung Tengar, Kuala Perlis, semalam.
Mohd Hashim (tengah) bersama Timbalan Pengarah (Operasi) APMM Zon Maritim Kuala Perlis, Leftenan Maritim Mohd Fazmin Shah Md Rafee Shah (kiri) dan Timbalan Pengarah (Siasatan) APMM Zon Maritim Kuala Perlis, Leftenan Maritim Mohamad Zaimi Yakub menunjukkan sebahagian daripada daun ketum yang dirampas ketika cuba diseludup ke Thailand menggunakan bot di perairan Kurung Tengar, Kuala Perlis, semalam.

Maritim Malaysia rampas 3.2 tan ketum

KANGAR: Tindakan dua lelaki merempuh bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dekat Kuala Perlis di sini, ketika memecut bot dinaiki mereka ke perairan Thailand semalam, membawa kepada pembongkaran penyeludupan 3.2 tan ketum bernilai RM576,000.

Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain, berkata kejadian berlaku pada jam 6.50 pagi di kedudukan 5.8 batu nautika barat pantai Kurung Tengar, Kuala Perlis, di sini apabila pasukan operasi khas APMM Zon Maritim Kuala Perlis mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan menuju ke arah perairan sempadan Malaysia-Thailand.

"Hasil maklumat risikan selama dua bulan, kita berjaya mengesan bot suspek yang berukuran 12 meter dan lebarnya pula kira-kira 2.5 meter serta menggunakan enjin sangkut dengan 600 kuasa kuda.

"Ketika kejadian, bot itu bergerak dalam keadaan gelap menyebabkan kita segera mengatur gerak bot ronda pasukan operasi ke lokasi.

"Menyedari kehadiran anggota APMM, dua suspek dalam bot itu bertindak mengemudi bot secara berbahaya dengan merempuh bot penguat kuasa APMM dalam usaha meloloskan diri," katanya di sini hari ini.

Mohd Hashim berkata, impak rempuhan itu menyebabkan bot suspek bocor dan tidak mampu untuk bergerak dengan laju.

"Anggota kita kemudian menaiki bot berkenaan dan menahan suspek berusia 37 dan 48 tahun.

"Pemeriksaan menemui 300 bungkusan plastik berwarna hitam dan 13 bungkusan plastik berwarna putih yang disyaki mengandungi daun ketum dengan anggaran berat lebih kurang 3.2 tan bernilai RM576,000.

"Siasatan awal mendapati suspek sudah beberapa kali menyeludup keluar daun ketum ke negara Thailand menggunakan laluan laut di Kuala Perlis," katanya.

Mohd Hashim berkata, cubaan menyeludup daun ketum ke negara Thailand disebabkan permintaan yang meningkat terhadap bahan berkenaan.

"Penggunaan dan penanaman daun ketum dibenarkan di negara itu.

"Thailand juga difahamkan sudah mengeluarkan produk minuman ketum dalam tin serta minuman ketum juga ada dijual menggunakan mesin air atau 'vending machine'. "Tidak hairanlah sindiket penyeludupan ketum di negara ini sentiasa mencari jalan untuk menyeludup masuk daun ketum ke negara jiran menggunakan pelbagai kaedah dan laluan sama ada laut dan darat," katanya.

Beliau berkata, semua rampasan termasuk kedua-dua suspek kini dalam tahanan APMM Zon Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot fiber serta tiga enjin sangkut berkenaan dianggarkan sekitar RM956,000.

Kes disiasat mengikut Sekyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain hal berkaitan bahan itu.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya.

Berita Harian X